Tuesday, 27 March 2012

Alonso enggan dabik dada




SEPANG - Pemandu Ferrari, Fernando Alonso (gambar) mengakui, pasukan yang berpangkalan di Itali itu perlu lebih bekerja keras bagi memastikan mereka kekal kompetitif dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.

Kenyataan Alonso itu hadir selepas dia mencipta kemenangan pada Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Sepang kelmarin.

Kejayaan pada perlumbaan yang terpaksa ditangguhkan selama 51 minit ekoran hujan lebat itu, ternyata cukup istimewa buat Ferrari.

Ini kerana, Ferrari bergelut dengan prestasi tidak menentu ketika sesi ujian pramusim dan 'tenggelam' pada saingan pembuka tirai 2012 - GP Australia minggu lalu.

Bagaimanapun Alonso berkata, keputusan itu tidak memberi sebarang makna jika jentera Ferrari, F2012 gagal untuk terus memberi cabaran kepada pencabar terdekat mereka iaitu McLaren, Red Bull dan Mercedes GP dalam saingan musim ini.

"Pada awal perlumbaan musim ini, kami (Ferrari) berdepan dengan beberapa masalah pada jentera tetapi kami bekerja keras bagi mengatasinya.

"Kami bekerja siang dan malam. Ferrari telah membuktikan dalam tempoh 60 tahun sebelum ini bahawa kami sememangnya mampu bergelar juara.

"Untuk perlumbaan seterusnya, kami perlu lebih agresif bagi memberi saingan kepada pencabar-pencabar terdekat kami," kata Alonso yang merekodkan kejuaraan kedua pada GP Malaysia.

Sebagai rekod, pemandu berusia 30 tahun itu meraih gelaran sulung GP Malaysia pada musim 2007.

Sementara itu, ketua pasukan Sauber, Peter Sauber menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan pemandunya, Sergio Perez sengaja memberi laluan kepada Alonso untuk bergelar juara.

Perez yang 'lahir' menerusi Akademi Pemandu Ferrari telah diberikan arahan oleh Sauber untuk mengekalkan kedudukannya di tempat kedua di belakang Alonso sehingga tamat perlumbaan.

Bagaimanapun, Sauber menegaskan bahawa tidak ada komplot antara pasukan itu dengan Ferrari bagi mengatur kedudukan tersebut.

"Kami memberitahu Perez agar berhati- hati kerana kami memerlukan keputusan yang positif.

"Kesemua pencabar kami telah mengutip mata dan kami perlu melakukan perkara yang sama. Apa yang lebih penting, keputusan dan bukannya kedudukan," kata Sauber. - AFP

No comments: