Monday, 26 March 2012

Fergie arah benam Fulham

MANCHESTER: Sir Alex Ferguson yakin Manchester United berhak dipuji kerana masih dalam persaingan merebut kejuaraan, tetapi memaklumkan kepada pemainnya supaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri menentang Fulham, awal pagi esok.

Buat kali pertama sejak bermula kempen musim ini, skuad Ferguson hampir mencapai tahap kekuatan penuh tatkala United memasuki fasa akhir saingan, selepas bentengnya terjejas apabila Nemanja Vidic tidak dapat beraksi kerana kecederaan.
Phil Jones mungkin kembali beraksi menentang Cottagers awal pagi esok selepas pulih daripada sakit, namun Ferguson masih kehilangan sekurang-kurangnya enam pemain skuad utamanya.
Begitupun, kemenangan ke atas skuad Martin Jol akan menyaksikan United melebarkan kelebihan tiga mata berharga ke atas Manchester City yang diikat dengan keputusan 1-1 di Stoke, kelmarin.

Ferguson juga tentunya selesa dengan hakikat selepas perlawanan menentang Fulham, United berdepan Blackburn, QPR, Wigan, Aston Villa dan Everton sebelum menuju ke City bagi perlawanan ketiga terakhir musim ini, 30 April depan.

Walaupun membawa United mencatat rekod mencatat 19 kejuaraan, Ferguson berasakan jika skuadnya mampu mengekang City, ia bakal menjadi kejayaan paling menarik dan dia berharap kelompok pemain berpengalaman dalam skuadnya diberi pujian.

“Saya perlu mengucapkan tahniah kepada pemain kerana mencapai kedudukan yang kami kecapi kini walaupun berdepan masalah kecederaan. Ia bukan satu musim yang hebat dari segi kecederaan. Pemain menunjukkan ketahanan dan kami berada pada kedudukan sekarang kerana faktor itu.
“Kini, kami mula dapat menurunkan kembali pemain utama dan berharap mereka kekal kerana ia mengukuhkan peluang kami.” – AFP

No comments: