MIAMI: Juara bertahan, Novak Djokovic dan pemain nombor tiga dunia, Roger Federer mara ke pusingan kedua kejohanan tenis ATP/WTA Miami Masters dengan kemenangan straight set, tetapi pilihan penonton, Kim Clijsters tersingkir dalam acara wanita.
Pilihan utama, Djokovic mudah menewaskan Marcos Baghdatis, 6-4, 6-4 di kejohanan gelanggang keras itu manakala pilihan ketiga, Federer mencatat kemenangan ke-23 tahun ini apabila menewaskan pemain wild card 19 tahun dari Amerika Syarikat (AS), Ryan Harrison 6-2, 7-6 (7-3).
“Saya rasa seperti perlu memenangi perlawanan tiga kali pada penamat, maka saya lega berjaya mara,” kata Federer. “Dan ia bagus dapat menewaskan pemain Amerika, kerana di sinilah mereka kebiasaannya bermain pada tahap terbaik.”
Bintang tenis Switzerland itu sedang berusaha meraih kejuaraan berturut-turut kali ketiga di Indian Wells-Miami, selepas menang Masters gelanggang keras AS itu berturut-turut pada 2005 dan 2006.
Federer kini menang 40 daripada 42 perlawanan terakhirnya sejak separuh akhir Terbuka AS 2011.
“Saya rasa, saya lebih yakin kini. Sejak akhir-akhir ini, saya benar-benar bermain dengan baik,” kata Federer.
Djokovic, 24, kini memiliki 15 kemenangan dan hanya kalah dua kali tahun ini.
Ia adalah perlawanan pertamanya sejak tewas tiga set kepada pemain Amerika, John Isner pada separuh akhir Masters Indian Wells.
Bagi bekas pemain nombor satu wanita dunia, Clijsters menyelamatkan tiga mata penamat ketika menentang pilihan ke-23 dari Belgium, Yanina Wickmayer, sebelum tewas 6-4, 7-6 (7/5) pada pusingan ketiga. – AFP
No comments:
Post a Comment