Monday, 26 March 2012

Saya tak bernasib baik: Schumi

JELAS tuah berlumba di laman sendiri terus tidak menyebelahi pasukan Mercedes-AMG - PETRONAS apabila kejayaan yang diramal selepas persembahan baik pada sesi kelayakan tidak menjadi kenyataan.

Pemandu veteran, Michael Schumacher yang memulakan perlumbaan di petak ketiga, berdepan kesukaran selepas jenteranya berpusing di selekoh empat seawal pusingan pertama sebelum perlumbaan dihentikan kerana hujan.
“Daripada tempat di mana saya bermula, agak malu apabila saya hanya mencatat satu mata di akhir perlumbaan,” kata bekas juara dunia tujuh kali itu dengan rakan sepasukannya, Nico Rosberg menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13.
“Saya tidak bernasib baik kerana dilanggar sebelum berpusing. Sebelum perlumbaan dihentikan, saya cuba melakukan yang terbaik seperti yang dapat anda lihat.

“Apabila perlumbaan bersambung, kelajuan di antara jentera lain tidak jauh berbeza, jadi sukar untuk kami memintas. Jelas masih banyak kerja keras yang perlu dilakukan mengenai aspek kelajuan jentera dari sesi kelayakan ke perlumbaan.”

Prinsipal pasukan, Ross Brawn juga kecewa selepas menamatkan hari positif kelmarin dengan keputusan hambar itu.

“Selepas sesi kelayakan yang baik, kami bergelut untuk menggunakan tayar yang sesuai dalam perlumbaan hari ini, itulah masalah yang kami akan cuba selesaikan.
“Memang kecewa tapi saya yakin kami mempunyai kekuatan untuk menyelesaikan masalah ini dan akan kembali ke ibu pejabat minggu depan bagi mengatasinya.”

No comments: