Sunday, 25 March 2012

Jika Saya Bukan Atlet: Minat berniaga (Cheng Chu Sian)

ATLET memanah negara, Cheng Chu Sian warisi minat keluarga untuk ceburi bidang perniagaan.

SOALAN (S): Jika anda bukan atlet, apa karier pilihan anda?

CHENG CHU SIAN (CCS): Sewaktu kecil dahulu, banyak yang saya fikirkan. Mahu menjadi artis, doktor dan semua itu pernah saya isi di dalam borang.

Tapi sebenarnya saya berminat menjadi ahli perniagaan, mungkin kerana keluarga ada menjalankan perniagaan menjual dan membaiki motosikal yang diwarisi daripada datuk.


S: Adakah anda akan meneruskan perniagaan keluarga?

CCS: Mungkin juga. Sebenarnya saya jarang ke kedai, kalau ada pun mungkin dua atau tiga kali setahun, dan tidak pernah menolong mereka pun. Pada masa itu bapa menyuruh saya memberi tumpuan terhadap pelajaran demi masa depan.


S: Bentuk perniagaan jenis apa yang ingin anda ceburi?

CCS: Apa saja asalkan ia tidak menyalahi undang-undang. Buat masa ini saya belum menetapkan perniagaan yang bakal diceburi.


S: Apakah hobi anda?

CCS: Saya suka mengambil gambar. Saya memang gemar mengambil gambar tapi ia hanya untuk dimuatkan di facebook saja. Sekarang lebih mudah dengan adanya kamera digital. Kita boleh mengambil seberapa banyak gambar yang kita suka.


S: Sebagai atlet memanah, adakah anda juga memerlukan latihan di gimnasium?

CCS: Latihan di gimnasium juga penting untuk memastikan kita mendapatkan stamina mencukupi sehingga akhir tahun.


S: Apa perancangan anda 10 tahun selepas ini? Adakah anda akan mengikut jejak rakan anda, Mohamad Marbawi Sulaiman yang kini menjadi jurulatih?

CCS: Semuanya bergantung kepada keadaan tetapi bagi saya menjadi atlet jauh lebih mudah berbanding jurulatih. Masalah atlet adalah masalah jurulatih tetapi masalah jurulatih bukan masalah atlet. Mungkin itu yang dialami Awie (Marbawi) pada masa ini.


S: Anda sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik London. Adakah ia berbeza berbanding ketika layak ke Beijing dulu?

CCS: Saya pernah menyertai Sukan Olimpik 2008 tetapi untuk mengesahkan kedudukan ke London, saya perlu menunggu hingga Mei atau Jun ini.

Terpulang kepada persatuan dan Majlis Sukan Negara (MSN) sama ada mahu memilih saya atau tidak.


S: Apa yang boleh anda bayangkan mengenai pertandingan di London kelak?

CCS: Saya pernah ke London untuk pertandingan ujian tetapi kita tidak akan tahu keadaan sebenar sehinggalah Ogos nanti. Ada yang berkata, ketika itu cuaca agak berangin jadi kami perlu bersedia.


S: Bagaimana anda lihat pencapaian anda setakat ini?

CCS: Ia semakin lama semakin baik. Setiap pencapaian saya akan diatasi pemanah lain, dalam tempoh 10 tahun lalu, pencapaian kami melengkapi antara satu sama lain dan ia semakin naik bagaikan sebuah piramid.


S: Akhir sekali, bagaimana caranya untuk menggalakkan generasi muda untuk berminat dalam sukan ini.

CCS: Kami tidak boleh memberi galakan kepada orang ramai untuk menceburi sukan ini tetapi diharapkan dengan keputusan yang dicapai dan pingat yang dimenangi, sudah pasti akan membuka mata orang ramai untuk menceburi sukan ini.-Metro

No comments: