Sunday, 25 March 2012

Pemain Import T-Team, Bojan Petric

Bahasa bukan masalah

KETINGGIAN 190 sentimeter adalah aset berharga buat pemain import tunggal T-Team, Bojan Petric mengekang asakan penyerang lawan untuk mengelak kubunya ditembusi.

Sebelum namanya meniti bibir peminat, pemain kelahiran Slavonski Brod, Bosnia yang sudah menghasilkan satu jaringan terpaksa berdepan masalah komunikasi kerana tidak fasih berbahasa Inggeris hingga banyak perancangan diatur jurulatih gagal difahami dengan baik. Tetapi itu cerita dulu, kini bermula dengan bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan rakan sepasukan dan jurulatih, dia yang lebih mesra dengan panggilan Bojan sudah mula mengorak langkah dan mampu memahami setiap arahan diberikan jurulatihnya, Yunus Alif dan rakan sepasukan sama ada dalam bahasa Inggeris dan Melayu.


Malah, lebih menggembirakan rakan sepasukan dan pengurusan skuad itu, pemain yang mempunyai tandukan berbisa itu tidak memilih soal makanan tempatan yang popular di negeri ini termasuk keropok lekor, nasi lemak, nasi dagang , laksa Terengganu dan kuih muih.

“Selain masyarakat di Terengganu peramah dan suka menyapa setiap kali bertemu, makanan tempatan memang sedap dan amat menyelerakan. Saya suka tinggal di sini,” kata Bojan yang sudah jatuh hati dengan panaroma Terengganu.


Bukan itu saja, pemain berusia 28 tahun itu yang pernah menyarung jersi kelab FK Novi Pazar di Serbia tahun lalu sebelum memilih T-Team juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan terutama di bahagian pertahanan biarpun mengambil masa hampir tiga bulan untuk membentuk gandingan mantap bersama Nor Fazly Alias di benteng tengah pasukan.


“Ketika terpilih menyarung jersi T-Team akhir tahun lalu, komunikasi menjadi masalah utama kerana saya tidak tahu berbahasa Inggeris. Tetapi hasil tunjuk ajar rakan sepasukan dan jurulatih selama hampir tiga bulan, kini saya memahami arahan dan semakin serasi,” kata Bojan yang mengaku berminat menyarung jersi skuad itu selagi pengurusan mahukan khidmatnya.

Sebelum ini, pemain yang memakai jersi nombor empat itu mempunyai seorang lagi rakan import dari Liberia, Zacharia Simukonda yang bertindak di jentera serangan, namun jodoh pemain itu tidak kekal lama bersama T-Team akibat prestasi yang tidak menentu selain cedera.


Kini Bojan pemain import tunggal T-Team hingga pintu kedua pengambilan pemain import dibuka pada 2 April depan. “Selepas kontrak Simukonda ditamatkan, saya berasa tempiasnya memikirkan nasib yang bakal saya terima apatah lagi gagal berkomunikasi dengan baik, namun selepas 10 perlawanan termasuk saingan Piala FA, saya kembali yakin dan bersemangat membantu pasukan mencatat kemenangan setiap kali beraksi.

“Saya ingin membantu pasukan mara ke final dan sekurang-kurangnya mendakap satu daripada tiga piala dipertandingkan, jika boleh trofi Piala Malaysia yang menjadi kebanggaan bola sepak Malaysia,” katanya.


Bojan yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan bawah 19 tahun negaranya berkata, dia tidak menyangka terpilih mewakili kelab T-Team musim ini kerana pada mulanya dia hanya mencuba nasib untuk beraksi di rantau asing.


“Selepas puas beraksi di liga negara saya dan Serbia, saya datang ke Kuala Terengganu untuk mencuba nasib. Mungkin rezeki saya di sini.”-Metro

No comments: