Sunday, 25 March 2012

‘Si kecil’ menakutkan, Saori Yoshida

MESKIPUN bertubuh kecil dan suka memakai stokin kembang, penggusti Jepun, Saori Yoshida mungkin atlet paling digeruni dalam mana-mana sukan dipertandingkan di Sukan Olimpik London.

Saori, pemenang pingat emas edisi 2004 dan 2008 kategori wanita 55 kilogram, tidak pernah tewas di Olimpik, dunia mahupun Asia.


Dia turut percaya dengan rekod cemerlangnya itu, tiada siapa mampu menghalangnya untuk mencatat hatrik di Sukan Olimpik.

Selain sembilan gelaran dunia berturut-turut, pingat emas Olimpik ketiga membolehkannya menyamai 12 gelaran global dimenangi legenda Greco-Roman, Alexander Karelin dari Russia.


“Jika bergusti dengan cara yang saya mahukan, saya tidak akan tewas,” katanya ketika sesi latihan, sambil duduk di atas tikar gusti, menyarung jaket dan stokin putih yang tebal. “Inilah cara untuk bermain di London.” Keyakinan atlet berusia 29 tahun itu hadir selepas hanya kalah sekali pada 2001, apabila rekod kemenangan 119 perlawanan berakhir mengejutkan dalam acara berpasukan Piala Dunia pada 2008.


“Ketakutan masih ada. Apa saja boleh berlaku di Olimpik. Saya mahu menggunakan pengalaman yang diraih di Athens dan Beijing, juga rasa takut membentuk diri saya supaya tidak kalah,” katanya sambil tersengih.

Saori yang hanya setinggi 156sm, menewaskan atlet Kanada, Tonya Verbeek pada final Sukan Olimpik Athens 2004 dan atlet China, Xu Li di Beijing empat tahun lalu.


“Saya akan lakukan segala-galanya untuk memenangi pingat emas ketiga di London. Matlamat itu mendorong saya. Saya sudah sedia dan kini lebih bertenaga. Saya akan bertarung dalam keadaan cergas untuk merealisasi misi itu.”-Metro

No comments: