Sunday, 25 March 2012

Negeri Sembilan Vs Persebaya

PERTEMUAN antara Negeri Sembilan (NS) dan Persebaya dari Surabaya dalam perlawanan persahabatan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini tampak menarik kerana NS akan turun selaku juara Piala Malaysia 2011 manakala Persebaya adalah antara pasukan yang beraksi dalam liga utama Indonesia dan pernah menjulang trofi liga itu pada 2004.

Sekalipun barisan yang akan ditampil skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah berbeza tapi pengendali berpengalaman itu sudah pasti tidak mahu anak buahnya menjadi skuad belasahan malam ini sebaliknya memastikan pemain memberikan persembahan cemerlang bagi mempertahankan maruah pasukan.


Sehubungan itu, Azraai mahu pemain skuad Hoben Jang Hoben mempamerkan persembahan terpuji dan beraksi pada tahap sebenar.

“Persebaya antara pasukan handalan liga utama Indonesia dan memiliki beberapa pemain berwibawa antaranya Aji Sontoso, Anang Ma‘aruf dan Bobby Satria.


“Pastinya mereka di sini dengan barisan pemain utama dan mahu melakar kemenangan,” katanya.


Menurut Azraai, pihaknya akan menurunkan barisan terbaik bagi menghadapi cabaran Persebaya dalam memastikan skuad bimbingannya memberikan persembahan mantap dan meraih keputusan memuaskan.

“Kami mahu lihat gandingan Jean-Emmanuel Effa Owona dan Ahmad Shakir Md Ali mempamerkan aksi menarik untuk menembusi benteng lawan.


“Saya harap mereka berdua menunjukkan gandingan mantap untuk membantu pasukan mencapai kemenangan. Selain Ahmad Shakir, saya juga harap Mohd Firdaus Azizul membuktikan kehebatannya menjaringkan gol,” katanya.

Selain itu, pengurusan pasukan juga berusaha menurunkan beberapa pemain luar sebagai penilaian sebelum mereka diambil sebagai import sebaik pendaftaran pemain import dibuka semula April ini.


“Lebih penting pertemuan ini mampu memberi impak positif kepada pasukan dan peminat setia Negeri Sembilan,” kata Azraai lagi.

No comments: