KUALA LUMPUR - Pemain muda kebangsaan, Kamran Khan hanya selangkah dari mengecapi aksi pusingan sebenar Kejohanan Skuasy Terbuka Kuala Lumpur CIMB Nicol David buat kali pertama dalam kariernya.
Pemain No. 60 dunia itu melepasi pusingan pertama kelayakan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil semalam dengan menumpaskan rakan senegara, Sanjay Singh 11-7, 9-11, 11-6, 11-8 dan akan bertemu pemain England, Adrian Waller yang menyingkirkan seorang lagi pemain Malaysia, Amir Farhan 11-2, 11-2, 11-2 dalam satu lagi perlawanan.
Kamran yang baru memenangi kejuaraan kedua PSA dengan merangkul Piala Norooz di Tehran, Iran dua minggu lalu, bertekad tidak mahu lagi kempunan tahun ini dan tidak gentar menghadapi Waller yang menduduki ranking ke-53.
"Saya tewas 0-3 kepadanya pada 2010 (suku akhir Piala Baltimore di Amerika Syarikat), namun itu dua tahun lalu dan saya percaya kali ini saya mampu mengubah keputusan itu.
"Saya tidak pernah beraksi pada pusingan sebenar, inilah peluang saya," kata Kamran, 21, yang merupakan pemain No. 4 kebangsaan.
Mengiringi Kamran ke pusingan kedua kelayakan hari ini ialah Gurshan Singh dan Muhd. Asyraf Azan.
Asyraf menumpaskan pemain veteran Hong Kong 11-7, 7-11, 11-6, 11-5 manakala Gurshan tidak perlu menitiskan peluh kerana diberi kemenangan percuma oleh jaguh Pakistan, Farhan Mehboob yang tidak hadir.
Lain-lain pemain terkandas termasuk Choong Kam Hing, Elvinn Keo dan Syafiq Kamal.
Dalam saingan wanita, Delia Arnold adalah satu-satunya wakil tunggal yang melepasi halangan pertama semalam manakala tujuh lagi pemain pelapis dan remaja negara kesemuanya kecundang.
Delia mengalahkan rakan senegara, Pushppa Devi 11-1, 11-8, 11-2 untuk mengatur pertemuan dengan pemain No. 14 dunia Australia, Donna Urquhart yang menewaskan adik Delia, Rachel 11-7, 11-5, 11-2.
Seperti beberapa pemain kita yang jelas kelihatan bukan tandingan bintang-bintang handalan dunia, Delia dijangka bukan lawan Urquhart hari ini.
Jadeleen Lee, Teh Min Jie Siti Munirah Jusoh, Vanessa Raj dan Zulhijjah Azan kesemuanya mangsa penyingkiran awal.
Tidak seperti saingan lelaki, taraf saingan wanita jauh lebih tinggi kerana menarik kesemua pemain 16 terbaik dunia datang bermain di sini.
Jadi, barisan pemain terkemuka Joelle King, Jaclyn Hawkes (New Zealand), Dipika Pallikal (India) diperlukan mengharungi pusingan kelayakan, namun mereka dijangka tidak berdepan masalah untuk ke pusingan sebenar.-Utusan
No comments:
Post a Comment