Tuesday, 27 March 2012

Pemain muda serlah aksi terbaik

KUANTAN - Meskipun skuad hoki kendalian jurulatih, Tan Beng Hai kempunan ke Sukan Olimpik 2012, ia bagaimanapun menyerlahkan persembahan beberapa pemain muda yang mempamerkan aksi terbaik setanding dengan pemain senior.

Ia diakui sendiri Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melihatnya antara elemen positif yang diraih sepanjang kempen tersebut.

"Saya yakin dengan pasukan dan pemain muda. Mereka menunjukkan aksi terbaik pada kejohanan itu, malah ia setanding dengan pemain senior.

"Ini adalah antara elemen positif yang dilihat dihasilkan daripada Hoki Kelayakan Sukan Olimpik 2012," katanya ketika ditemui di Istana Abdul Aziz di sini, semalam.

Jelas Tengku Abdullah, walaupun kecewa dan tidak puas hati apabila skuad negara gagal ke Sukan Olimpik, perjalanan dan perancangan untuk pasukan itu harus diteruskan.

"Kalau ikut memang saya tak puas hati dengan pencapaian di Dublin. Sekurang-kurangnya kita boleh ke pusingan akhir, namun semua itu tidak kesampaian.

"Sebab itu saya agak terkilan, namun demikian kita kena melihat ke hadapan supaya dapat majukan sukan hoki di Malaysia," ujarnya.

Tengku Abdullah memberitahu, beliau akan berbincang dengan pegawai untuk mencari formula yang terbaik buat pasukan negara.

"Jangan rasa hampa kerana secara keseluruhannya kita tidak sampai ke Olimpik tapi pasukan negara telah dapat memperbaiki ranking iaitu dari ke-16 kita mendaki ke-13," katanya.

Tengku Abdullah juga melahirkan keyakinannya semua pasukan yang layak ke London adalah pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi dan baik dari Malaysia.

Ditanya mengenai khidmat jurulatih asing, Tengku Abdullah tidak menolak kemungkinan tersebut di samping melihat semua pilihan untuk menghasilkan lebih ramai pemain baru dan menghantar mereka ke luar negara.

"Kita akan kaji semua ini, namun beberapa aspek lain perlu diperbaiki seperti jurulatih tempatan dan liga domestik selain memperbanyakan program pembangunan pemain muda dan ini memerlukan sokongan semua pihak," katanya.-Utusan

No comments: