Tuesday, 27 March 2012

Kegagalan skuad Dublin bukan penamat segalanya

DI sebalik kekecewaan yang terhasil daripada kegagalan skuad hoki kebangsaan untuk layak ke Olimpik London, terselit juga satu kepuasan tidak terhingga di hati Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau yang turut sama menyaksikan aksi anak buah Tai Beng Hai di pusingan kelayakan di Dublin, Ireland itu juga tidak mahu mencipta alasan atas kegagalan itu kerana baginya, alasan bukanlah perkara terbaik yang dapat diberikan pada masa ini.


“Saya kecewa kerana kita gagal tetapi kita perlu terus melangkah. Kalau saya nak bagi alasan, memang banyak. Saya tidak senang hati kerana kita gagal layak. Saya harapkan kita ke final tapi itu tidak berlaku.

“Itulah sebabnya mengapa saya sedikit terkilan. Bagaimanapun, kita perlu terus memandang ke depan dan saya akan berbincang dengan pegawai dalam sehari dua ini untuk cari formula terbaik untuk pasukan kebangsaan.


“Perkara positif yang dapat disimpulkan terhadap skuad kebangsaan kita ini ialah ranking mereka di dunia sudah meningkat daripada 16 ke-13. Saya percaya semua pasukan yang layak ke Olimpik berada di kedudukan yang lebih baik dari kita. Justeru, gagal ke Olimpik bukan penamat kepada segala-galanya,” katanya.


Beliau gembira dengan kemampuan serta kematangan ditunjukkan ramai pemain muda dalam skuad kebangsaan dan menganggap itu petanda positif terhadap perkembangan pasukan berkenaan pada masa depan.

Click Here

“Ada elemen positif hasil aksi kita di Dublin. Seorang atau dua pemain senior mungkin bersara selepas ini dan kita mungkin menggunakan khidmat mereka dalam kaedah lain selepas ini. Pemain muda yang dibawa ke Dublin menunjukkan mereka sudah sedia diberi tanggungjawab lebih besar,” katanya.


Di Dublin, Malaysia gagal menamatkan kemarau 12 tahun aksi Olimpik apabila sekadar menduduki tangga ketiga di belakang Ireland dan Korea Selatan sekali gus membuatkan anak buah Beng Hai itu terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk memburu aksi di Olimpik seterusnya.

Kegagalan itu juga menimbulkan persoalan sama ada Malaysia memerlukan jurulatih asing dan perkara itu pantas dijawab Tengku Abdullah yang berkata, PHM akan meneliti semua kemungkinan berhubung pengambilan jurulatih asing dan mungkin menghantar pemain beraksi di liga luar negara selain meningkatkan liga tempatan serta memperbanyakkan lagi program untuk menghasilkan lebih ramai pemain muda.-metro

No comments: