Tuesday, 27 March 2012

Hasrat Tengku Mahkota Johor tepat

SEKIRANYA benar Tengku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhasrat mencabar kerusi panas Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) ia dianggap sebagai langkah tepat untuk membaik pulih imej olahraga yang tercalar selama ini.

Hasrat TMJ itu disambut baik dengan hati terbuka Presiden Persatuan Jurulatih Olahraga Kebangsaan, Mohd Musa Noor Mohd yang akan memberikan sokongan penuh kepada siapa saja yang bakal menjawat tugas sebagai Presiden KOM demi melihat perubahan dalam dasar olahraga negara.

Katanya, tidak kira siapa yang memegang tampuk pimpinan KOM, sudah sampai masanya dunia olahraga negara memerlukan pembaharuan dan inilah masa tepat seandainya berhasrat untuk melihat angin perubahan dalam KOM selepas dilanda pelbagai masalah.

Minggu lalu seramai 10 ahli gabungan mengadakan kunjungan bagi mengadakan perbincangan bersama TMJ yang dikatakan berminat mencabar jawatan Presiden KOM yang kini disandang Datuk Seri Shahidan Kassim sejak dua penggal lalu.


“Taufan dalam KOM mungkin ada hikmahnya untuk membuka mata semua pihak menilai kemelut dalaman KOM. Kesudian TMJ sekiranya beliau benar-benar mahu mencabar kerusi presiden, boleh dianggap sebagai berita baik,” katanya.


Musa yang pernah menjawat jawatan Pengarah Pusat Latihan Prestasi Tinggi (HPTC) Asia itu berkata, olahraga negara harus mempunyai misi dan visi yang perlu direalisasikan dan andai matlamat itu gagal dicapai, mereka yang bertanggungjawab perlu meletakkan jawatan. “Saya bukan menafikan keupayaan Shahidan sebagai presiden.

Shahidan sudah membuktikan kemampuannya ketika memegang tugas sebagai Menteri Besar Perlis. Banyak pembaharuan yang dibawanya tapi mungkin kerana beberapa perkara yang terjadi membuatkan beliau terlepas pandang apabila menerajui KOM,” katanya.

Biarpun belum ada sebarang keputusan dicapai bersama TMJ namun sudah ada bayangan awal ditunjukkan apabila ahli gabungan begitu serius mahukan angin perubahan bagi memastikan kemelut dalaman KOM dapat diselesaikan. “Semua ini berlaku kerana mereka sayangkan olahraga. Saya rasa mereka bertemu dengan TMJ bukan kerana mempunyai agenda tertentu tapi merasakan kehadiran baginda mampu menjadi titik permulaan,” katanya.



Jika benar 10 ahli gabungan bakal berpaling tadah untuk mencari penyandang baru bagi jawatan presiden di Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) bulan depan, ia bermakna Shahidan bakal kehilangan sokongan majoriti, sekali gus berdepan dengan kemungkinan untuk terpaksa melepaskan kerusi panas yang dipegangnya itu.-Metro

No comments: