Tuesday, 27 March 2012

Rashid serba salah

Datuk Lee Chong Wei
Datuk Lee Chong Wei

KERINGAT pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei nampaknya amat ditagih skuad Malaysia Tigers dalam memastikan sekurang-kurangnya satu tiket final kejohanan termahal RM3.08 juta (AS$1 juta) menjadi milik negara apabila dijadual menentang Indonesia Garuda pada separuh akhir pertama di Jakarta, Jumaat ini.

Piala Axiata yang memasuki peringkat separuh akhir mungkin tidak membawa apa-apa makna dalam penentuan ranking dunia namun pertembungan antara dua pasukan Malaysia menentang dua pasukan Indonesia penting demi maruah negara masing-masing.


Pertembungan ‘buku bertemu ruas’ antara dua pasukan elit Malaysia-Indonesia bakal menjadi tumpuan selepas skuad berpengalaman negara yang beraksi tanpa Chong Wei tewas kepada pasukan kedua Indonesia, iaitu Rajawali pada perlawanan terakhir kumpulan kelmarin.

Justeru, persoalan sama ada Chong Wei akan turun beraksi di separuh akhir atau sebaliknya terus menjadi topik utama diajukan kepada ketua jurulatih perseorangan Rashid Sidek.


“Jika mahu menang, memang kita perlu turunkan Chong Wei tapi saya tidak boleh sewenang-wenangnya buat keputusan,” kata Rashid.


“Kita perlu dapatkan pandangan doktor perubatan yang memantau pemulihan Chong Wei, jika dia cergas sepenuhnya, saya rasa tiada alasan untuk kita tidak senaraikan dia tapi jika tidak boleh, kita akan gunakan pemain sedia ada.

Click Here

“Dalam tempoh empat hari, tidak banyak boleh dilakukan dari segi perapian fizikal pemain, namun ada ruang untuk kita perbaiki kelemahan yang ada.” Ketika ditanya sama ada Chong Wei mahu bermain, Rashid berkata: “Kalau tanya pada dia memang dia mahu main. Tadi (kelmarin) pun dia geram dan rasa mahu main selepas melihat pasukan kita dalam situasi tertekan.


“Tapi perlu kita ingat, keutamaan Chong Wei adalah Olimpik. Kita lebih memerlukannya di sana, jika biarkan dia beraksi di kejohanan ini ketika belum pulih, kecederaan mungkin tambah parah dan siapa yang mahu bertanggungjawab.” Chong Wei belum beraksi walau satu perlawanan di Piala Axiata kerana mengalami kecederaan bahu di Siri Super Premier Seluruh England.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz mengesahkan, pemain itu hanya akan pulih dalam tempoh tiga hingga lima minggu dan minggu ini genap tiga minggu proses pemulihan kecederaan bahunya.


Tanpa Chong Wei, keringat Muhd Hafiz Hashim amat ditagih biarpun bekas juara Seluruh England 2003 itu nampak keletihan pada perlawanan terakhir menentang Dionysius Hayom Rumbaka.


Setiap kali kejohanan berpasukan, pertembungan Malaysia-Indonesia sentiasa genting, bukan hanya di gelanggang malah ‘panas’ di kerusi penonton.


Indonesia bagaimanapun meraih kelebihan psikologi selepas dua pasukan, Garuda dan Rajawali muncul juara kumpulan J dan K mengatasi dua pasukan negara, Malaysia Tigers dan Leopards yang sekadar menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua, namun cukup untuk ke separuh akhir.


Selain Malaysia Tigers menentang Indonesia Garuda di Jakarta, skuad remaja 21 tahun ke bawah negara, Malaysia Leopards pula menggalas cabaran getir untuk mengejutkan Indonesia Rajawali, pasukan kedua Indonesia yang mempunyai kekuatan seimbang dengan pasukan utama mereka.


Perlawanan Malaysia Leopards-Indonesia Rajawali akan berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras Jumaat ini manakala perlawanan kedua berlangsung pada Ahad mengikut format timbal balik.-Metro

No comments: