JOHOR BAHRU - Seorang pegawai wanita Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang ditahan kerana disyaki terlibat dengan bookie dan mengatur perlawanan bola sepak negeri ini telah dibebaskanJumaat lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata, wanita berusia 31 tahun yang ditahan pada 19 Mac lalu telah dilepaskan dengan jaminan polis, namun pihaknya masih meneruskan siasatan berhubung kes tersebut.
"Kita akan teruskan siasatan ekoran laporan dibuat oleh PBNJ dan pada masa sama, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menjalankan siasatan ke atas dakwaan yang dibuat pengadu.
"Sebarang perkembangan baru, saya akan maklumkan kepada pihak akhbar," katanya selepas Majlis Peringatan Hari Polis Ke-205 Kontinjen Johor di Setia Indah di sini , hari ini.
Turut hadir, isterinya, Datin Bibi Zakiah Meraslam yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang pegawai wanita PBNJ selama seminggu selepas menerima laporan polis dibuat persatuan itu yang mendakwa ada pegawainya disyaki terlibat dengan bookie dan mengatur keputusan perlawanan bola sepak.
Susulan daripada itu, wanita terbabit ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim turut bertitah bahawa terdapat aktiviti mengatur perlawanan berlaku di negeri ini dan antara mereka yang didakwa terlibat merupakan pegawai polis.
No comments:
Post a Comment