Tuesday, 27 March 2012

Malaysia Tiger tagih khidmat Chong Wei


CHONG WEI masih dibelenggu masalah kecederaan di bahagian bahu kanan.


KUDRAT jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei ditagih skuad Malaysia Tiger menjelang pertemuan menentang Indonesia Garuda pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata 2012, Jumaat ini.

Ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek berkata, jika skuad negara mahu mara ke final, khidmat Chong Wei memang diperlukan bagi merealisasikan matlamat tersebut.

Tanpa kelibat Chong Wei yang terpaksa direhatkan ekoran kecederaan di bahagian bahu kanan, Malaysia Tiger sekadar menamatkan saingan pada peringkat Kumpulan K selaku naib juara.

Paling mengecewakan apabila Malaysia Tiger tewas 1-2 kepada Indonesia Rajawali yang dilabel sebagai pasukan kedua negara tersebut pada aksi terakhir Kumpulan K di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur kelmarin.

"Jika dengan pasukan kedua Indonesia (Indonesia Rajawali) pun kita tidak mampu menang, apatah lagi hendak berdepan dengan pasukan pertama mereka (Indonesia Garuda).

"Sekiranya skuad negara mahu mencatatkan kemenangan ke atas Indonesia Garuda, saya akan katakan memang kami memerlukan Chong Wei dalam pasukan," kata Rashid ketika sidang media sejurus tamat perlawanan kelmarin.

Bagaimanapun, Rashid memberitahu bahawa keputusan untuk menurunkan Chong Wei pada aksi separuh akhir nanti tidak boleh dibuat secara terburu- buru.

Sebaliknya beliau menjelaskan, pihaknya perlu memantau perkembangan terkini Chong Wei yang sedang dalam proses pemulihan daripada masalah kecederaan yang dialami pemain No. 1 dunia itu.

"Kita tidak boleh terburu- buru untuk menurunkan Chong Wei. Hanya semata mana hendak menang dalam kejohanan ini, kita ambil risiko dengan menurunkannya.

"Kita kena sedar bahawa fokus utama Chong Wei adalah Sukan Olimpik 2012 di London. Kita tidak mahu kecederaan yang dialami ketika ini berulang, sekali gus menjejaskan misi Sukan Olimpik.

"Jadi, apa jua keputusan, kita perlu melakukan perbincangan dengan semua pihak, terutamanya ISN (Institut Sukan Negara). Jika tanya kepada Chong Wei, memang dia hendak main tetapi kita tidak mahu ambil sebarang risiko," jelas Rashid.

Pada aksi menentang Indonesia Rajawali kelmarin, perseorangan pertama negara, Muhammad Hafiz Hashim tewas di tangan Hayom Rumbaka 21-16, 18-21, 10-21.

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong turut gagal apabila kecundang kepada Angga Pratama-Rian Agung Saputro dengan keputusan 21-10, 18-21, 13-21.

Bagaimanapun perseorangan kedua, Liew Daren berjaya memberi satu mata buat skuad negara apabila mencatatkan kemenangan ke atas Shesar Hiren Rhustavito 21-19, 21-13.

Aksi separuh akhir yang dijalankan mengikut format timbal balik menyaksikan Malaysia Tiger akan berkunjung ke Jakarta untuk aksi pertama Jumaat ini sebelum menghadapi aksi kedua di Malaysia sehari kemudian.

Sementara itu, skuad Bawah 21 tahun (B-21) negara yang dikenali sebagai Malaysia Leopard turut mengesahkan slot ke peringkat separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan J.-kosmo

No comments: