
NICOSIA - APOEL Nicosia terpaksa berdepan kemarahan penyokong sendiri gara- gara kehabisan tiket perlawanan menjelang pertemuan menentang gergasi Eropah, Real Madrid pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Impian APOEL sebagai kelab pertama dari Cyprus layak lebih jauh pada saingan berprestij di Eropah itu tampak sukar berdasarkan reputasi Real sebagai juara sembilan kali.
Namun, ia tidak menghalang harapan ribuan penyokong APOEL yang dilihat mahu membanjiri Stadium GSP yang hanya dapat menampung kapasiti seramai 23,000 penonton sahaja.
Hanya sebahagian sahaja daripada puluhan ribu penyokong yang dilaporkan berjaya mendapatkan tiket yang mula dijual sejak Jumaat lepas.
"Saya benar-benar malu dengan apa yang berlaku," kata Pengerusi APOEL, Phivos Erotocritou.
"Saya rasa, saya tidak perlu menerangkan apa sebenarnya yang terjadi memandangkan kami gagal mengendalikan isu tiket ini sebaik mungkin.
"Justeru, kami meminta maaf kepada kesemua peminat yang mungkin kecewa kerana gagal mendapatkan tiket," katanya.
Pada masa sama, APOEL juga dilihat tidak berada pada prestasi terbaik selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Omonia Nicosia dalam aksi liga domestik Sabtu lepas walaupun pasukan lawan terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Jurulatih APOEL, Ivan Jovanovic juga terpaksa melupakan khidmat tonggak dari Brazil, Gustavo Manduca yang meledak gol penting ketika menyingkirkan Lyon pada aksi kalah mati sebelum ini gara-gara digantung perlawanan.
Sementara itu, Real yang masih segar dengan kejayaan membelasah Real Sociedad 5-1 dalam saingan Liga Sepanyol, Ahad lalu pula pastinya mahu memburu bekalan selesa untuk dibawa ke Santiago Bernabeu.
Kali terakhir jurulatih Real, Jose Mourinho ke Cyprus ialah ketika beliau mengendali kelab Itali, Inter Milan pada aksi kumpulan Liga Juara-Juara 2008 dan ketika itu, Inter seri 3-3 dengan Anorthosis Famagusta.
Justeru, Mourinho pastinya sedar cabaran daripada kelab dari Cyprus bukannya sesuatu yang boleh dipandang mudah.
Begitupun, kehadiran Real di Nicosia kali ini tidak disertai Xabi Alonso yang turut digantung perlawanan selepas dilayangkan kad kuning ketika menewaskan CSKA Moscow sebelum ini.
Dengan Lassana Diarra yang masih mengalami kecederaan, tempatnya dijangka diambil oleh Esteban Granero untuk bergandingan dengan Sami Khedira di bahagian tengah. - Reuters
No comments:
Post a Comment