Tuesday, 27 March 2012

Newcastle hampiri pentas Eropah


CISSE (dua dari kiri) meledak dua gol bagi membantu Newcastle melakar kemenangan 3-1 ke atas West Bromwich di Hawthorns kelmarin.


WEST BROMWICH - Newcastle United semakin mencerahkan peluang untuk beraksi pada saingan kelayakan kempen Liga Juara-Juara musim depan.

Ketika ini, skuad bimbingan Alan Pardew itu hanya ketinggalan lima mata di belakang pasukan di tangga keempat, Tottenham Hotspur selepas menang 3-1 ke atas West Bromwich Albion kelmarin.

Pada aksi di Hawthorns itu, skuad The Magpies selesa mendahului dengan 3-0 pada babak pertama hasil dua jaringan Papiss Demba Cisse dan satu gol sumbangan Hatem Ben Arfa.

Shane Long menjaringkan gol buat West Brom pada minit ke-52 tetapi ia tidak mampu menghalang Newcastle daripada mencatatkan kemenangan.

Kemenangan tersebut meletakkan Newcastle di tangga keenam liga dan berkongsi 50 mata dengan Chelsea yang menduduki tempat kelima, manakala Tottenham di tangga keempat (55 mata).

"Pada babak pertama, kami bermain dengan sangat hebat," kata Pardew.

"Sebelum perlawanan, saya beritahu para pemain bahawa kami memiliki peluang yang besar (untuk menang) selepas kejayaan menewaskan Norwich City dan hari ini (kelmarin) kami patut meraikannya.

"Para pemain telah bekerja keras dan berhak untuk diberi pujian. Kamu tidak akan memperoleh kesemua mata ini tanpa kualiti."

Kejayaan itu menyaksikan Newcastle mendahului dengan kelebihan lapan mata di depan pasukan di tangga ketujuh, Liverpool yang akan menjadi lawan mereka selepas ini.

Sementara itu, pengurus West Brom, Roy Hodgson berkata, ketinggalan tiga gol pada babak pertama menyukarkan tugas anak-anak buahnya untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.

"Kami ketinggalan 0-3 pada babak pertama hasil serangan balas pasukan lawan. Saya tidak fikir kami menghadapi situasi itu dengan baik.

"Kami cuba memberi saingan yang sengit tetapi ketinggalan 0-3 kepada pasukan yang berkualiti seperti Newcastle dan ini menjadikan ia sangat sukar," jelasnya. - AFP

No comments: