Tuesday, 27 March 2012

Mancini hanya tergelak

MANCHESTER - Roberto Mancini hanya mentertawakan Alex Ferguson selepas pengurus Manchester United itu melancarkan 'serangan psikologi' terhadapnya dalam usaha memberi tekanan kepada Manchester City menuju ke penghujung saingan Liga Perdana Inggeris.

Pembantu Mancini, David Platt menegaskan, pengurus City itu tidak tertekan ketika kedua-dua kelab Inggeris tersebut bersaing sengit untuk merebut gelaran Liga Perdana musim ini.

Bos United, Ferguson minggu lalu menyifatkan Mancini terdesak kerana sanggup membenarkan penyerang kontroversi Argentina, Carlos Tevez kembali ke pangkuan pasukan.

Platt, 45, bagaimanapun mendedahkan, Mancini hanya tergelak apabila mendengar kenyataan Ferguson itu, sambil menegaskan ia tidak langsung memberi masalah kepadanya.

"Ia (persaingan) ini bukan tentang dia (Mancini) atau Alex, tetapi ia tentang pasukan.

"Roberto hanya tergelak mendengar. Padanya, itu semua tidak memberi sebarang masalah,'' kata Platt.

United memegang kelebihan tipis satu mata ke atas City selepas pencabar utama mereka itu sekadar seri 1-1 dengan Stoke City, Sabtu lalu.

Mancini, 47, enggan bersalaman dengan pengurus Stoke, Tony Pulis atau bercakap dengan media sejurus tamat perlawanan tersebut.

Pengurus kelahiran Itali itu berang kerana pemainnya kurang dilindungi oleh pengadil perlawanan selepas Stoke tampil dengan pendekatan fizikal yang keras.

Bagaimanapun kata Platt, reaksi Mancini itu bukan bermakna dia tertekan, sebaliknya ia adalah tanda kesungguhannya untuk membawa City menjulang kejuaraan Liga Perdana ertama sejak 1968.

City hilang kelebihan yang pernah dipegang ke atas United sebelum ini selepas hanya menang satu daripada tiga perlawanan terakhir liga.

Begitupun dengan saingan masih berbaki lapan perlawanan, pertemuan di antara City dan United di Stadium Etihad pada 30 April ini, dijangka mampu menjadi penentu.

"Realistiknya, kami masih berpeluang memburu gelaran. Dapat berada di atas memang bonus tetapi yang penting, di mana kedudukan kami pada penghujung musim,'' kata Platt. - AGENSI

No comments: