Tuesday, 27 March 2012

Newcastle kurang lima mata ke Liga Juara-Juara

WEST BROMWICH - Newcastle United hanya kurang lima mata untuk menempah tiket ke Liga Juara-Juara Eropah selepas mencatat kemenangan 3-1 di tempat lawan ke atas West Bromwich Albion di Hawthorns, kelmarin.

Perlawanan itu sudah berakhir sebelum separuh masa pertama tamat apabila Magpies berjaya mendahului 3-0 hasil dua gol jaringan Papiss Cisse dan Hatem Ben Arfa.

Pemain gantian West Brom, Shane Long menggunakan kesempatan di atas kesilapan pertahanan lawan untuk menjaringkan gol pada minit ke-52 tetapi ia belum cukup buat Baggies selepas mereka mencatat kekalahan kesembilan di tempat sendiri.

Kemenangan membolehkan Newcastle berada di tangga keenam Liga Perdana Inggeris dan sama mata dengan pasukan di tangga kelima, Chelsea yang memiliki kelebihan jaringan.

Kedua-dua pasukan tersebut hanya dibezakan dengan lima mata di belakang Tottenham Hotspurs, yang sekarang ini menduduki tangga keempat dan kedudukan terakhir untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah, tatkala saingan masih berbaki lapan perlawanan.

"Separuh masa pertama kami beraksi dengan baik sekali. Saya telah berkata sebelum perlawanan ia seperti suasana yang amat menggembirakan selepas kami menang ke atas Norwich.

"Kami menjadi satu fenomena sepanjang tahun, pemain telah bekerja keras dan berhak mendapat pujian. Ini adalah tempat yang sukar dan mereka telah mencatat kemenangan yang boleh diingati.

"Hari ini saya sangat gembira dengan kawalan bola yang ditunjukkan, begitu juga hantaran dan dengan pemain terbaik yang anda miliki di atas padang," kata jurulatih Newcastle, Alan Pardew.

Kelmarin, kedua-dua pemain di Hawthorns dan pengadil perlawanan memasuki padang dengan memakai kemeja T tanda sokongan kepada Fabrice Muamba, pemain tengah Bolton yang masih di hospital selepas mengalami masalah jantung pada perlawanan suku akhir Piala FA menentang Spurs. - AFP

No comments: