Tuesday, 27 March 2012

Ferrari belum serlah kemampuan sebenar

SEPANG - Pemandu Sepanyol, Fernando Alonso memberi amaran bahawa jentera Ferrari yang telah membawanya muncul juara Grand Prix Malaysia kelmarin sebenarnya belum menyerlahkan kemampuan sebenar kerana pasukan itu masih bekerja keras untuk mempertingkatkan keupayaannya menjadi lebih kompetitif musim ini.

Alonso berkata, pasukan dari Itali itu berhempas pulas 'siang dan malam' untuk mempertingkatkan kereta F2012 yang sebelum ini bergelut dengan masalah, tetapi ia diimbangi dengan kecekapan krew Ferrari menangani keadaan cuaca tidak menentu di Sepang untuk membawa kemenangan ke-28 buat juara dunia dua kali itu.

Kemenangan tersebut dicatat selepas perlumbaan terhenti selama 51 minit akibat hujan dan Alonso dihimpit rapat oleh pemandu Sauber, Sergio Perez sepanjang saingan sebelum menewaskan jaguh muda Mexico itu, yang melakar kejutan muncul naib juara.

Bagi Ferrari, kejayaan ini agak mengejutkan selepas jentera mereka bergelut sepanjang sesi ujian pra musim dan perlumbaan sulung di Australia, dua minggu lalu.

Pemandu kelahiran Oviedo berusia 30 tahun itu berkata, kemenangan tersebut tidak merubah apa-apa kerana mereka masih berusaha mengejar pasukan pilihan, McLaren dan penyandang juara, Red Bull, selain pasukan yang semakin memberikan cabaran kompetitif, Mercedes.

"Pada permulaan musim, kami menghadapi beberapa masalah dengan kereta, selain kurang panta tetapi kami sedang berusaha keras siang dan malam untuk memperbaiki kereta. Selama 60 tahun, Ferrari telah membuktikan bahawa kami mampu mencatat kemenangan.

"Begitupun, kejayaan di Sepang ini tidak merubah pendekatan kami dalam beberapa minggu akan datang. Pada perlumbaan berikutnya, jika kami mahu berlumba secara agresif, maka kami kena segera mempertingkatkan jentera kerana ketika ini, kami agak jauh ketinggalan,'' kata Alonso.

Sementara itu, bos Sauber, Peter Sauber menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak bahawa pasukannya telah mengeluarkan arahan kepada Perez supaya tidak memintas Alonso pada beberapa pusingan terakhir. - AFP

No comments: