Tuesday, 27 March 2012

Lagi jurulatih China bimbing penerjun Malaysia

KUALA LUMPUR - Persiapan skuad terjun negara menjelang Sukan Olimpik London mendapat suntikan semangat baru apabila seorang lagi jurulatih berwibawa dari China dibawa masuk oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) bagi membantu merealisasikan impian Malaysia meraih pingat sulung dalam temasya tersebut.

Kedatangan Zhang Yikun, 49, yang menandatangani kontrak adalah tepat pada masanya memandangkan seorang lagi jurulatih kelahiran China, Huang Qiang tidak akan lagi aktif memainkan peranan melatih, sebaliknya memberikan tumpuan yang lebih kepada berlatih.

Huang Qiang yang kini mewakili Malaysia selepas menerima taraf kerakyatan Julai lalu, membentuk kombinasi mantap dengan Bryan Nickson Lomas untuk menempah tiket ke temasya London dalam acara 3 meter papan anjal seirama lelaki pada Piala Dunia, London bulan lalu.

Setiausaha Kehormat ASUM, Edwin Chong berkata, Huang Qiang masih lagi merupakan jurulatih, tetapi tanggungjawabnya dikurangkan secara drastik bagi membolehkan dia berlatih bersungguh-sungguh tanpa gangguan dalam usaha mengembalikan sentuhan lamanya selaku penerjun yang digeruni seperti sedekad lalu.

"Peranan Huang Qiang kini 80 peratus berlatih dan 20 peratus melatih. Dia akan membantu Yang Zhuliang (ketua jurulatih) apabila ada keperluan," katanya.

Ketibaan Yikun yang berasal dari Hubei bermakna Malaysia kini menggunakan enam jurulatih China kesemuanya dengan barisan kejurulatihan diterajui Zhuliang.

Mengulas serba ringkas latar belakang Yikun, Edwin memberitahu, dia adalah bekas ketua jurulatih pasukan terjun Indonesia yang tamat kontraknya selepas Sukan SEA Indonesia, November lalu.

"Dia adalah bekas jurulatih skuad kebangsaan China dan antara anak buah yang pernah dilatihnya termasuk juara Piala Dunia 2006 dan pemenang pingat perak Beijing 2008, Zhou Luxin.

"Dalam tempoh dua tahun bersama Indonesia, dia telah membawa banyak perubahan positif kepada pasukan itu dan ia terbukti pada Sukan SEA lalu apabila meraih kutipan pingat kedua terbaik di belakang kita dalam terjun.

"Memang benar pada waktu itu mereka mempunyai kelebihan tuan rumah, namun sudah tentu penerjun-penerjunnya cukup berkualiti untuk mendapat pencapaian sebaik itu,'' jelas Edwin. -Utusan

No comments: