Pendapat Saya
PASUKAN hoki kebangsaan negara menyertai Sukan Olimpik kali terakhir pada tahun 2000 di Sydney, Australia. Saya tidak bersama kontinjen negara ke sukan berkenaan kerana baru menjalani pembedahan pintasan jantung.
Kita gagal untuk ke Athens dan kemudiannya ke Beijing 2008 dan sekarang ini ke London 2012.
Sukan hoki dimasukkan ke dalam program Road to London 2012 (RTL 2012) bersama-sama dengan pasukan bola sepak dan juga empat atlet menembak pada awal tahun 2011. Program RTL 2012 sebelum itu hanya dianggotai oleh 19 atlet daripada sukan badminton, lumba basikal dan memanah. Dengan keanggotaan pasukan bola sepak yang mengandungi 25 pemain dan hoki juga mengandungi 25 pemain serta empat atlet menembak maka seramai 77 orang atlet berada dalam program RTL 2012.
Kegagalan pasukan bola sepak, hoki dan tiga atlet menembak bermakna 53 daripada atlet-atlet RTL 2012 gagal layak ke London pada Julai ini. Dengan tambahan seramai empat atlet terjun yang layak bertanding walaupun tidak dinamakan dalam program ini bermakna hanya 28 orang (36 peratus) atlet RTL 2012 layak atau masih berada dalam program. Masa masih ada bagi atlet sukan-sukan tertentu untuk berusaha melayakkan diri bertanding di Sukan Olimpik dan berkemungkinan besar jumlahnya akan bertambah. Namun, ternyata hasrat untuk membentuk kontinjen yang dianggotai oleh 50 orang atlet tidak tercapai.
Pasukan hoki kita dimasukkan ke dalam program RTL 2012 adalah kerana berjaya memenangi pingat perak di Sukan Asia 2010 yang merupakan satu pencapaian yang terbaik yang belum pernah dicapai sebelum ini. Dengan persediaan yang dikira mencukupi termasuk mengadakan perlawanan dengan pasukan- pasukan lain sebelum menyertai pusingan kelayakan di Dublin, ramai yang berpendapat pasukan kali ini mempunyai kelebihan untuk berjaya. Pasukan yang perlu ditewaskan hanyalah pasukan Korea Selatan yang merupakan antara pasukan terkuat dari benua Asia dan pernah memenangi pingat perak di Sukan Olimpik. Pasukan Korea Selatan dikatakan tidak sekuat dulu dan dengan itu pasukan kita telah dilihat mempunyai peluang yang lebih cerah dari sebelum ini untuk menjadi satu-satunya pasukan dari Dublin yang berjaya ke Sukan Olimpik London.
Dengan keyakinan ini sudah tentu tumpuan yang lebih diberikan kepada pasukan ini. Selain dari pegawai-pegawai persatuan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab dengan RTL 2012 berada di Dublin, wartawan sukan juga telah dihantar untuk membuat liputan. Pelajar negara kita yang berada di Dublin turut bersama-sama memberikan sokongan moral yang sangat diperlukan.
Pasukan kita bermula dengan cukup baik dengan mengalahkan pasukan dari Chile, Ukraine dan Rusia tetapi kalah kepada pasukan Korea Selatan yang mencipta gol kemenangan di penghujung perlawanan. Dengan itu pasukan kita memerlukan kemenangan bila menentang pasukan Ireland selaku tuan rumah. Sebagai mana yang kita ketahui pasukan kita hanya mampu seri walaupun telah mendahului permainan. Kita hanya menduduki tempat ketiga setelah mengalahkan pasukan Rusia 6-1.
Sindrom membenarkan pasukan lawan menjaringkan gol di akhir perlawanan bukanlah satu perkara yang baru bagi pasukan hoki negara kita. Ia telah lama berlaku dan disedari oleh semua pihak. Malangnya kita masih belum berjaya mencari menu untuk mengatasi kelemahan ini. Kita tahu penyakitnya tetapi kita belum lagi dapat mencari ubatnya.
Sudah tentu semua peminat hoki negara merasa kecewa apabila pasukan kita hanya berjaya mencapai keputusan seri 1-1 dengan pasukan Ireland. Kekecewaan tersebut dilaporkan ditunjukkan oleh mereka yang berada di Dublin meninggalkan stadium mungkin dengan rasa marah atau kecewa yang amat sangat. Apa yang dilaporkan hanya dua orang pegawai dari ISN dan MSN turun untuk bersama-sama dengan pemain-pemain yang sudah tentu lebih kecewa kerana tidak dapat menyertai Sukan Olimpik. Ada pemain-pemain yang sudah tentu tertutup pintu mereka untuk bertanding pada Sukan Olimpik oleh kerana umur yang meningkat. Mereka ini lebih kecewa dari yang menonton.
Sikap hanya mahu bersama-sama menang ini mestilah diperbaiki oleh pegawai-pegawai sukan.-Utusan
No comments:
Post a Comment