Tuesday, 27 March 2012

Perez kalah kepada pengalaman

KUALA LUMPUR - Pelumba muda berusia 22 tahun, Sergio Perez hampir melakar kejutan terbesar pada Grand Prix (GP) Formula Satu Petronas Malaysia 2012 di Litar Antarabangsa Sepang yang berakhir, kelmarin.

Namun, pemandu Sauber itu terpaksa akur dengan kehebatan Fernando Alonso daripada pasukan Ferrari yang memanfaatkan pengalaman dimiliki untuk menjuarai perlumbaan di Malaysia.

Saingan, kelmarin berlangsung dengan penuh dramatik setelah hujan turun sejak awal perlumbaan lagi dan ekoran jarak penglihatan yang agak terhad serta terdapat takungan air di seksyen tiga litar memaksa pihak penganjur menghentikan perlumbaan selama 51 minit.

Bermula dari detik itu, perlumbaan yang kemudiannya disambung telah memberi gambaran awal terhadap potensi untuk pelumba kelahiran Mexico tersebut berpeluang cerah menghasilkan keputusan podium.

Prestasi pemanduan yang konsisten menyaksikan Perez berjaya menempatkan dirinya dalam tiga kelompok teratas bersama-sama Alonso dan Hamilton.

Namun, nasib ternyata menyebelahi Alonso yang dibantu dengan tuah serta keputusan tepat yang dilakukan krew pasukannya ketika melakukan pit stop sewaktu saingan hanya berbaki beberapa pusingan.

Bagi pasukan McLaren pula, perlumbaan dalam hujan di atas litar basah tidak berpihak kepada jentera MP4-27 untuk mengekalkan aksi konsisten seperti yang dipamerkan pada kelayakan, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, mereka masih mampu mengukir senyuman kerana Hamilton tetap berjaya menaiki podium dan sekali gus, menebus kehampaan rakan sepasukan, Jenson Button yang gagal mengulangi kecemerlangan di Melbourne setelah menamatkan saingan di tangga ke-14.

Namun, lain pula ceritanya dengan penyandang juara, Red Bull apabila dominasi pasukan itu sejak dua tahun lalu berakhir ekoran gagal untuk menghasilkan keputusan podium di Sepang.

Juara dunia, Sebastian Vettel terpaksa menelan keperitan apabila perlumbaan di Sepang tidak lagi berpihak kepadanya setelah sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-11 dan rakan sepasukannya, Mark Webber melakar catatan yang lebih baik untuk berada di tempat keempat.

Bagi Mercedes AMG Petronas pula, sekalipun pelumbanya, Michael Schumacher bermula baik di petak ketiga, namun kesilapan yang dilakukan pada awal perlumbaan setelah jenteranya berpusing menyaksikan juara dunia tujuh kali itu hanya berpuas hati di kedudukan ke-10 manakala Nico Rosberg di tangga ke-13.-Utusan

No comments: