Friday, 23 March 2012

Massa makin optimis

PELUMBA Ferrari, Felipe Massa optimis kembali menemui sentuhan kemenangan di Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia, esok, dengan sokongan jentera baru musim ini.

Massa yakin kembali menyerlah bagi menyahut peringatan Ferrari agar kembali menyinar selepas hambar pada musim 2011, apatah lagi tewas di Melbourne, Australia, minggu lalu.


“Jentera baru ini lebih baik dan berkualiti. Saya yakin memenangi perlumbaan minggu ini.

“Namun, saya tidak memandang remeh pencabar lain, khususnya McLaren dan Red Bull. Semua pasukan makin hebat,” katanya yang turut menolak kemungkinan digantikan dengan pelumba lain sekiranya gagal menyerlah.


Massa hadir pada sesi ekslusif bersama media tempatan ‘Felipe Massa and Shell Fuels Scientist’ di stesen minyak Shell, Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. Lebih menarik, meskipun dengan masa terhad, Massa turut mengambil kesempatan mengisikan minyak buat pelanggan Shell.


Mengulas lanjut, Massa berkata, Shell turut memainkan peranan penting buatnya menyerlah sepanjang musim ini dengan menjadi antara elemen utama untuk jentera Ferrari bergerak lebih pantas.

Ditanya mengenai cabaran di Litar F1 Sepang, Massa berkata, dia menjalani persiapan awal setiap kali menjelang perlumbaan di Malaysia.


“Trek di Sepang sememangnya mencabar, ditambah pula dengan cuaca panas. Saya sudah mempersiapkan diri untuk itu dan yakin akan menang,” katanya.

Tahun lalu, Massa menjadi pemandu Ferrari pertama dalam tempoh 19 tahun menamatkan perlumbaan tanpa menaiki podium sekali gus memberikannya tekanan musim ini.-Metro

No comments: