Tuesday, 27 March 2012

Nicol mampu bertahan lagi

KUALA LUMPUR - Berita buruk kepada semua pemain skuasy wanita, jaguh No. 1 dan juara dunia enam kali, Datuk Nicol David baru mencapai kemuncak prestasinya.

Ia dinyatakan jurulatih peribadi Nicol sendiri, Liz Irving yang menganggap ratu skuasy negara itu sedang menikmati tempoh terbaik dalam kariernya dan ia boleh berpanjangan untuk sekurang-kurangnya tempoh enam tahun lagi.

"Seseorang pemain biasanya mencapai kemuncaknya antara usia 28 hingga 34 tahun dan Nicol sedang menikmati tempoh tersebut.

"Meskipun sudah memenangi segala-galanya, saya boleh lihat Nicol masih belum menunjukkan sebarang tanda dia akan berundur dalam tempoh terdekat.

"Selagi dia masih ada keinginan, selagi dia masih menikmati sukan yang dicintainya, saya rasa dia boleh beraksi menjangkaui usia pertengahan 30-an," kata Irving yang merupakan bekas pemain No.2 dunia Australia itu.

Nicol yang usianya menjangkau 29 tahun Ogos ini, telah merangkul 57 gelaran, termasuk rekod enam gelaran dunia sejak bertukar pro pada 2000.

Kehebatan Nicol itu melayakkan dirinya diiktiraf dalam Dewan Kemasyhuran Persekutuan Skuasy Dunia (WSA), sekali gus tergolong antara legenda terulung sepanjang zaman.

Namun, Irving menjangkakan Nicol, yang memulakan kempen 2012 dengan dua kejuaraan di Siri Akhir Dunia dan Cleeveland Classic, akan terus mendominasi pentas dunia.

"Nicol sentiasa berusaha untuk berada selangkah di hadapan musuh-musuhnya. Dia sedar kalau tidak meningkatkan permainannya, pencabarnya akan merapatkan jurang. Dia sedang gigih berlatih sesuatu yang baru, saya tidak boleh dedahkan kepada anda.

"Namun untuk tahun ini, dia membuat persiapan dengan cukup rapi dan berada pada tahap kecergasan terbaik. Segala-galanya tampak sempurna buat Nicol untuk meneruskan penguasaannya sejak enam atau tujuh tahun lalu," tambah Irving yang berpengkalan di Amsterdam, Belanda.

Semalam, Nicol yang berada di ibu negara minggu ini untuk mempertahankan gelaran kejohanan Terbuka Kuala Lumpur CIMB yang secara rasminya bermula esok, sempat meluangkan masa untuk terlibat dalam kegiatan pembangunan skuasy tanah air.

Berlangsung di Arena Nicol David, Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, Nicol menerima pelawaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menjadi Ikon Skuasy Institusi Pengajian Tinggi (IPT).-Utusan

No comments: