MIAMI: Pemain tenis nombor dua dan keempat dunia, Rafael Nadal dan Andy Murray tidak berdepan masalah untuk mara ke pusingan keempat kejohanan ATP/WTA Masters Miami, semalam.
Nadal mudah menewaskan pemain Republik Czech, Radek Stepanek, 6-2, 6-2, pada pusingan ketiga di gelanggang utama.
Laluan Murray ke pusingan keempat lebih mudah apabila pemain Kanada, Milos Raonic menarik diri kerana mengalami kecederaan pergelangan kaki.
Nadal yang memburu gelaran pertamanya di Miami, menang semua enam pertemuan menentang Stepanek sejak kali pertama bertemu pada 2004.
“Saya gembira melangkah ke pusingan keempat selain meraih semangat positif serta keputusan yang selesa,” kata Nadal. “Saya akan terus berusaha melakukan yang terbaik dan cuba memperbaiki tahap permainan dari masa ke semasa.” Nadal menamatkan perlawanan dengan tiga ace, menang 74 peratus servis pertama dan menyelamatkan dua break point dalam perlawanan yang memakan masa 86 minit.
Nadal akan menentang pemain Jepun, Kei Nishikori yang mengetepikan pemain Republik Czech, Lukas Rosol 6-4, 6-2.
“Dia seorang pemain yang hebat dan perlawanan pasti sangat sukar,” kata Nadal mengulas persembahan Nishikori. “Dia berbakat besar dan bermain sangat agresif.” Murray, 24, dari Scotland akan menentang pilihan ke-13, Gilles Simon bagi penentuan tempat ke suku akhir di kejohanan yang dimenanginya pada 2009.
Raonic pilihan ke-26, sebelum itu sudahpun menarik diri daripada meneruskan perlawanan dalam acara beregu ketika bergandingan pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson dan hanya sempat beraksi tiga permainan menentang Michael Llodra dan Nenad Zimonjic.
Raonic, 21, berada pada prestasi terbaik tahun ini apabila merangkul gelaran di Chennai dan San Jose selain layak ke final di Memphis.
Sementara itu dalam aksi wanita, pemain wild card Amerika Syarikat (AS), Venus Williams terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan Aleksandra Wozniak dari Kanada, 4-6, 6-4, 7-6 (7/5) manakala pilihan utama Victoria Azarenka mudah menundukkan Heather Watson 6-0, 6-2 pada perlawanan pusingan ketiga.
Venus akan bertemu bekas pemain nombor satu dunia, Ana Ivanovic yang menundukkan pilihan ke-20, Daniela Hantuchova 6-2, 7-6 (7/2).
“Saya cuba untuk tidak membenarkan apa saja mengganggu saya. Saya hanya fikir apa yang perlu dilakukan pada perlawanan ini,” kata Venus.
Victoria akan bertemu pilihan ke-16 dari Slovakia, Dominika Cibulkova untuk ke separuh akhir. - AFP
No comments:
Post a Comment