Tuesday, 27 March 2012

‘Saya tak mampu’ - Pengurus Juventus, Antonio Conte

TURIN (Itali): Pengurus Juventus, Antonio Conte mengaku tidak mampu menyekat AC Milan daripada merangkul gelaran Seria A buat kali kedua berturut-turut meskipun berjaya menewaskan Inter Milan.

Juve merapatkan jurang dengan pendahulu Milan kepada empat mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Inter semalam.


Bagaimanapun Conte mengaku Milan seakan-akan mempunyai sesuatu kelebihan biarpun berdepan masalah kecederaan pemain hingga berjaya bangkit mengatasi Roma 2-1 sebelum ini.

Conte menyatakan, pasukannya yang tidak tewas 33 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini hanya mampu menduduki tangga kedua melainkan Milan melakukan kesilapan.


“Milan memiliki skuad seramai 34-35 pemain dan sememangnya lebih baik berbanding pasukan lain,” kata Conte.


“Mereka membuktikannya apabila meskipun mengalami masalah kecederaan termasuk yang terbaru membabitkan Thiago Silva, mereka masih mampu mengekalkan rentak dalam liga.


“Kami perlu terus berusaha dan mencatat prestasi hebat apabila mengekalkan rekod tanpa kalah. Kami akan memberikan aksi terbaik kerana masih bersaing merebut dua kejuaraan.


“Sasaran utama kami adalah Piala Itali kerana kami berjaya melangkah ke final.

“Dalam saingan liga pula, kami akan berusaha menduduki tempat kedua. Namun tetap berharap jika Milan melakukan kesilapan, kami akan gunakan kesempatan itu sebaik mungkin.” Alessandro Del Piero muncul wira dalam perlawanan semalam apabila menjaringkan gol kedua yang membunuh sisa-sisa perjuangan Inter. - AFP

No comments: