Tuesday, 27 March 2012

Harry Redknapp percaya keadaan Fabrice Muamba yang semakin pulih melegakan kedua-dua penyokong kelab

LONDON: Pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp percaya keadaan Fabrice Muamba yang semakin pulih melegakan kedua-dua penyokong kelab yang menyaksikan perlawanan semula suku akhir Piala FA dengan Bolton Wanderers.

Perlawanan sebenar pada 17 Mac Sabtu lalu terpaksa ditunda selepas berlangsung selama 41 minit apabila pemain tengah Bolton itu rebah di White Hart Lane kerana sakit jantung yang hampir meragut nyawanya.


Pemain berusia 23 tahun itu berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas pegawai perubatan dan semua peminat di seluruh negara mengharapkan Muamba segera sembuh.

Redknapp optimis perlawanan ulangan esok bakal menjanjikan saingan sengit memandangkan Bolton kembali mempamerkan kebangkitan dengan menewaskan Blackburn Rovers, 2-1 dalam aksi Liga Perdana minggu lalu.


“Semua gembira dengan apa yang berlaku,” kata Redknapp mengenai pertembungan itu dengan pemenang bertemu Chelsea pada suku akhir Piala FA di Wembley.


“Saya tidak mahu terlalu mengingati apa yang berlaku dengan Muamba namun dengan apa yang berlaku Sabtu lalu dan sehingga kini adalah sesuatu yang ajaib.


“Bila masuk ke terowong, doktor kelab memaklumkan dia sebenarnya sudah meninggal dunia.


“Kita semua berasa dia tidak mampu bertahan atau sempat ke hospital,” tambah Redknapp yang menyatakan kerap berhubung dengan rakan sejawatnya di Bolton, Owen Coyle untuk mengikuti perkembangan Muamba.

“Apabila banyak berita dipaparkan saya banyak berhubung dengan Coyle setiap hari.


“Ia sesuatu yang ajaib apabila jantung berhenti dalam tempoh yang agak lama (Muamba tidak bernyawa selama 78 minit) dan kemudian kembali berfungsi.


“Saya fikir kami boleh menumpukan kepada perlawanan itu semula. Kami mahu beraksi pada malam Selasa (esok) dan kedua-dua pasukan semestinya ingin menang.” - AFP

No comments: