Tuesday, 27 March 2012

Barca, Real buru tiket

PARIS: Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona dan Real Madrid akan memulakan buruan tiket ke final Liga Juara-Juara di Munich pada 19 Mei ini selepas kedua-dua pasukan itu berjaya mengelak daripada bertemu di suku akhir.

Dua kelab itu sukar digugat dalam saingan La Liga apabila memiliki kelebihan 22 mata ke atas pasukan tangga ketiga Valencia sekali gus membolehkan Barca dan Real dilabel sebagai dua pasukan pilihan di kejohanan Eropah.


Barca berjaya menyingkirkan musuh tradisinya itu pada separuh akhir musim lalu sebelum menewaskan Manchester United di final namun musim ini, Real berjaya mendahului kelab Catalan itu dengan enam mata dalam kempen La Liga.

Skuad kendalian Jose Mourinho itu juga turut mendapat tuah undian Liga Juara-Juara apabila dipertemukan dengan pasukan kerdil Cyprus, APOEL.


Kelab Nicosia itu menjadi pasukan pertama dari Cyprus berjaya mara ke suku akhir apabila menumpaskan Lyon menerusi sepakan penalti pada pusingan kedua dan aksi awal pagi esok di laman sendiri akan menjadi perlawanan terbesar dalam sejarah bola sepak negara itu.


Selepas seri 1-1 menentang Malaga dan Villarreal yang menghidupkan kembali harapan Barca dalam perebutan kejuaraan Sepanyol, Real kembali di landasan terbaik hasil kemenangan besar 5-1 ke atas Real Sociedad, Sabtu lalu.


Cristiano Ronaldo menghasilkan dua gol untuk mengumpul 101 gol dalam 92 penampilan dalam saingan liga namun pemain dan pegawai Real enggan bersemuka dengan media selepas itu kerana memboikot kad merah diberikan kepada Mourinho, Sergio Ramos dan Mesut Ozil di Villarreal.


Situasi itu memaksa bekas bintang dan kini pengarah Real, Emilio Butragueno bertemu pihak media dan menyatakan GSP Stadium akan dibanjiri penyokong APOEL.

“Penyokong di Cyprus akan merasai pengalaman cukup unik,” katanya “Penyokong di sana cukup bersemangat dan kami perlu waspada. Saya harap kami boleh meraih keputusan baik di sana.


“Kami sepatutnya menewaskan Malaga manakala sesuatu yang pelik pula berlaku dalam perlawanan dengan Villarreal namun semua itu sudah berlaku dan kami tidak perlu mengingatinya lagi. Kami perlu memberi tumpuan kepada Piala Eropah.” - AFP

No comments: