Friday, 23 March 2012

Spurs hilang punca

Harry Redknapp
Harry Redknapp

PENGURUS Tottenham Hotspur, Harry Redknapp (gambar) kini bergelut mencari punca kepincangan pasukannya apabila sekadar seri 1-1 dengan Stoke City.

Jika sebelum ini, mereka megah di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris, Spurs kini jatuh ke tangga keempat, di belakang Arsenal selepas terikat di White Hart Lane semalam.

Redknapp melihat pasukannya gagal memenangi empat perlawanan terakhir meskipun mereka menamatkan siri tiga kekalahan berturut-turut.

“Sentuhan kami bagaikan tidak menjadi,” kata Redknapp.


“Kami tidak bermain dengan tahap yang sama seperti beberapa minggu lalu. Sukar untuk menanganinya. Seorang dua pemain kelihatan keliru.”


Perlawanan berikutnya buat Tottenham adalah menentang Chelsea, satu lagi pasukan yang mengharapkan tempat ke Liga Juara-Juara dan kini berada di tangga kelima liga, lima mata di belakang Tottenham.

“Kami akan menentang Chelsea, Sabtu ini untuk perlawanan penting jadi kami perlu segera bangkit dan cuba untuk mendapatkan keputusan terbaik,” kata Redknapp.

“Apa saja boleh berlaku. Kami perlu bangkit daripada ketinggalan dan kembali mendapatkan rentak. Ia masih belum berakhir.

“Ini masanya untuk kembali melawan.”

Tottenham ketinggalan selepas Cameron Jerome meledak gol pada minit ke-75, yang menyambut hantaran Robert Huth daripada sepakan percuma.

Pasukan tuan rumah memerlukan gol penyamaan Rafael van der Vaart untuk mendapatkan mata.

“Stoke bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Mereka begitu mantap,” kata Redknapp.

“Saya bercakap sebelum perlawanan bahawa kami perlu berwaspada dengan set-piece dan kami ketinggalan kerana set-piece.

“Kami mengejar dan terus mengejar. Percubaan Gareth Bale terkena palang tetapi bernasib baik kerana Van der Vaart menyelamatkan kami akhirnya.”

No comments: