Friday, 23 March 2012

Aura positif Tevez

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menjangkakan Carlos Tevez akan mempamerkan peningkatan berterusan sekali gus membantu merealisasi impian skuadnya memburu gelaran Liga Perdana Inggeris.

Tevez menjadi inspirasi kemenangan 2-1 ke atas Chelsea dalam penampilan pertamanya sebagai pemain gantian pada babak kedua di Eastlands, awal pagi semalam selepas disisihkan sebelum ini.


Penyerang Argentina itu melorongkan bola untuk Samir Nasir menyempurnakan gol kemenangan sekali gus membolehkan pasukannya merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga, Manchester United kepada satu mata.

Sepakan penalti Sergio Aguero sebelum Tevez dimasukkan memadamkan jaringan pembukaan Gary Cahill untuk Chelsea dan City turut merekod 20 kemenangan berturut-turut liga di laman sendiri, satu rekod dalam Liga Perdana dan kali keempat sejarah kelab liga utama mencapai tahap itu.


Kehadiran Tevez dari bangku pemain simpanan disambut ejekan penyokong City yang masih berang tindakannya menyisihkan diri daripada kelab itu selama enam bulan selepas enggan memanaskan badan pada pertemuan Liga Juara-Juara September lalu.


Namun Mancini yakin pemain itu tidak memerlukan tempoh lama untuk memenangi hati peminat.

“Saya fikir penting buat Carlos melakukan hantaran menakjubkan buat Samir dan semua penyokong menyanjungnya,” kata Mancini.


“Carlos memerlukan lebih banyak masa, bukan senang untuknya namun penting dia kini berada di sini.

“Mungkin dalam 10 hari, dua minggu, dia bakal mempamerkan prestasi terbaik. Saya fikir ia penting buat kami.


“Carlos mungkin tidak 100 peratus cergas namun dia arif mengenai bola sepak dan dia penting kerana dia menakjubkan.


“Saya berbincang dengan Carlos setiap hari bulan ini dan dia sedar perlu hadir dari bangku pemain simpanan dan beraksi 20 minit pada perlawanan ini namun dia boleh beraksi lebih lama pada masa depan.” - AFP

No comments: