Friday, 23 March 2012

Venus Williams dan Kim Clijsters Masih berbisa

MIAMI (Florida): Bekas pemain nombor satu dunia, Venus Williams dan Kim Clijsters kembali penuh bergaya dalam kancah tenis WTA selepas berehat lama apabila melakar kemenangan pada kejohanan gelanggang keras WTA dan ATP Miami, semalam.

Juara Grand Slam tujuh kali, Venus, yang tidak beraksi sejak menarik diri daripada Terbuka AS tahun lalu, mengalahkan pemain Jepun, Kimiko Date-Krumm 6-0, 6-3 dalam masa 77 minit.


“Memang hebat untuk kembali beraksi,” kata Venus. “Saya gementar tapi berjaya bermula dengan hebat dan bermain bagus menentang seorang lawan yang sukar. Ia memang satu permulaan yang ideal.” Venus mengumumkan pada Terbuka AS tahun lalu dia mengidap sindrom Sjogren auto-imun, penyakit yang melemahkan tenaganya dan menyebabkan kesakitan sendi.

“Penyertaan di kejohanan ini satu kemenangan besar buat saya,” kata Venus. “Itulah yang saya beritahu kepada diri sendiri sebelum masuk, bahawa ini adalah kemenangan. Tiada apa perlu saya bimbangkan. Saya hanya cuba menyertai kejohanan. Sudah banyak kejohanan yang tidak dapat saya sertai.” Venus yang bermain dalam acara beregu buat pasukan Piala Fed AS bulan lalu, menarik diri daripada Terbuka AS tahun lalu selepas mencatat kemenangan pada pusingan pertama.


“Pada masa ini, penting saya bermain dengan bijak,” kata Venus. “Saya suka corak menyerang. Itulah yang biasa saya lakukan dan cuba saya lakukan hari ini. Saya tidak ada masa untuk memberikan lawan mata. Saya perlu fokus dengan perancangan permainan saya.


“Yang bagus saya bermain dengan baik. Saya tahu bagaimana untuk bermain dan tidak hilang rentak, hakikatnya saya masih boleh bermain tenis.” Kim dari Belgium, beraksi buat kali pertama sejak kekalahan separuh akhir Terbuka Australia di tangan pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka, bangkit untuk menewaskan pemain Australia, Jarmila Gajdosova 4-6, 6-1, 6-0. - AFP

No comments: