Friday, 23 March 2012

Napoli rebut tiket final

ROME: Napoli memadam kekecewaan tersingkir daripada Liga Juara-Juara minggu lalu dengan kemenangan 2-0 ke atas Siena pada separuh akhir kedua Piala Itali awal pagi semalam untuk menempah tiket final menentang Juventus.

Napoli ketinggalan di belakang Siena, yang memburu final sulung dalam mana-mana pertandingan, 1-2 selepas perlawanan pertama namun tidak mengambil masa lama untuk mendahului apabila Simone Vergassola menjaringkan gol sendiri pada minit ke-10.


Edinson Cavani, yang terbabit mencetus gol pertama, menambah gol kedua selepas sejam berikutan gerakan cantik membabitkan rakan serangan Marek Hamsek dan Ezequiel Lavezzi untuk melakar kemenangan agregat 3-2.

Juventus, tidak kalah musim ini dalam Serie A yang mengatasi cabaran pendahulu liga, AC Milan pada separuh akhir Piala Itali, akan menentang pasukan di tangga keempat Napoli pada perlawanan akhir 20 Mei ini.


“Saya gembira kerana berjaya ke final dan memastikan tempat ke pertandingan Eropah,” kata jurulatih Napoli, Walter Mazzarri.


“Namun saya bimbang bagi baki musim ini. Pasukan ini keletihan, anda boleh melihatnya malam ini dan kami mungkin kehilangan Christian Maggio (yang mengalami kecederaan) pada saat-saat genting seperti ini.” - Agensi

No comments: