Friday, 23 March 2012

Pemulihan Fabrice Muamba dilabel ajaib

LONDON: Pemulihan berterusan pemain Bolton, Fabrice Muamba daripada serangan jantung dilabel sebagai “ajaib” selepas doktor yang bertarung menyelamatkan nyawanya mendedahkan dia ‘sudah mati’ lebih sejam.

Muamba pengsan pada hujung babak pertama perlawanan suku akhir Piala FA Bolton menentang Tottenham di White Hart lane, Sabtu lalu.


Perlawanan itu ditangguhkan tidak lama kemudian dan Muamba, 22, yang menerima rawatan di padang, dikejarkan ke hospital berdekatan London Chest Hospital dan dirawat di hospital itu hingga kini.

Walaupun perkembangan pemain tengah itu kini semakin menggalakkan, doktor pasukan Bolton, Jonathan Tobin berkata jantung pemain itu berhenti selama 48 minit sebelum tiba di hospital dan selama setengah jam selepas itu.


“Secara dasarnya dia sudah mati,” kata Tobin. “Fab- rice mengalami serangan jantung yang menunjukkan banyak aktiviti elektrikal bukannya aktiviti otot.” Tobin, yang melawat Muamba di hospital kelmarin berkata pemain itu memberitahunya dia berasa “sihat”.


“Saya gembira untuk menyatakan tanda-tanda awal pemulihan masih berterusan,” kata Tobin. “Saya bertemu Fabrice malam tadi. Saya berjumpanya dan dia berkata 'Hai, doktor.” “Saya tanya bagaimana keadaannya dan dia berkata, 'baik'.” - AFP

No comments: