Friday, 23 March 2012

Liverpool perlu belajar dari kekalahan

LONDON: Kenny Dalglish mengaku Liverpool mesti belajar daripada kekalahan mengaibkan di tangan QPR sekiranya mahu menyelamatkan kempen Liga Perdana Inggeris.

Anak buah Dalglish mensia-siakan kelebihan dua gol pada 13 minit terakhir sebelum tumbang 2-3 di tangan kelab bermasalah QPR di Loftus Road, awal pagi semalam.


Lantas bos Reds itu mengaku bimbang pasukannya mungkin melakukan kesilapan sama pada separuh akhir Piala FA, apabila mereka diundi berdepan sama ada Everton atau Sunderland di Wembley, sekiranya terus gagal bertindak cemerlang pada hujung perlawanan.

Namun Dalglish tetap tertanya-tanya bagaimana Liverpool yang menguasai babak awal selepas gol sumbangan Sebastian Coates dan Dirk Kuyt, pulang dari barat London tanpa sebarang mata selepas Shaun Derry, Djibril Cisse dan Jamie Mackie menjaringkan gol buat tuan rumah.


Dalglish, yang mengakui sebelum perlawanan itu bahawa pasukannya mesti memenangi semua baki 10 perlawanan jika berharap untuk berada dalam kelompok empat teratas berkata: “Saya tidak fikir sesiapa menyedarinya.


“Kami bermula dengan fantastik, hanya satu perkara yang tiada adalah tuah di depan pintu gol lawan.

“Kami sepatutnya sudah tiga atau empat kosong sebelum rehat babak pertama. Tidak banyak yang kami boleh katakan, tiada jawapan terhadap apa yang berlaku. Kami perlu mencarinya jika mahu belajar daripada kesilapan itu.


“Perkara utama yang perlu kami pelajari adalah ia tidak berakhir hingga ia benar-benar berakhir.” Bagi QPR, pengurus Mark Hughes percaya keputusan itu boleh menjadi batu loncatan untuk kekal di Liga Perdana. - AFP

No comments: