Friday, 23 March 2012

‘Kami tak mengalah’

LONDON: Pengurus Tottenham, Harry Redknapp memberi amaran terhadap Arsenal betapa mereka akan berjuang habis-habisan untuk merebut tangga ketiga Liga Perdana Inggeris.

Anak buah Redknapp kehilangan kedudukan tangga ketiga untuk layak secara automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara, buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga bulan selepas seri 1-1 dengan Stoke, awal pagi semalam.


Ketika Spurs gagal memenangi perlawanan liga keempat berturut-turut, Arsenal meneruskan kebangkitan mereka dengan kemenangan 1-0 ke atas Everton di laman lawan yang menyaksikan Gunners mengambil alih tempat kelab musuh utara London itu.

Ia satu lagi persembahan kurang bersemangat sepanjang 90 minit buat Spurs, yang memerlukan gol penyamaan masa kecederaan Rafael van der Vaart untuk memadam gol pendahuluan Cameron Jerome ketika aksi bola sepak kembali ke White Hart Lane empat hari selepas pemain tengah Bolton, Fabrice Muamba pengsan di padang.


Sekalipun Spurs merudum terus sepanjang bulan lalu, Redknapp yakin mereka akan mengembalikan semula kemuncak prestasi tepat pada masanya untuk mengatasi Arsenal di tangga ketiga.


“Kami masih boleh berakhir di depan Arsenal. Arsenal tidak boleh fikir semuanya berakhir. Ia belum lagi berakhir,” kata Red- knapp.

“Perjuangan masih panjang. Mereka tidak akan memenangi setiap perlawanan, saya tidak fikir begitu.” Redknapp menolak tanggapan pemainnya mungkin terjejas kerana apa yang berlaku Sabtu lalu, yang menyaksikan perlawanan Piala FA antara Tottenham dan Bolton ditangguh selepas Muamba mengalami serangan jantung sebaik sebelum rehat babak pertama.


“Tiada apa yang menjejaskan mereka, mereka bersedia untuk bermain,” katanya. “Saya pastinya mencari alasan jika saya berkata begitu.

“Saya hanya berasa kami panik. Kami juga berhenti membuat hantaran bola.


“Penonton mahukan kami menyerang dan mahu kami menang. “Kami perlu bermain, kami perlu bersabar dan jika ia memerlukan 10, 15, 20 hantaran untuk cuba mencipta peluang, kami terpaksa melakukannya.” - AFP

No comments: