LIVERPOOL: Tandukan Thomas Vermaelen memastikan Arsenal melonjak ke kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris buat kali pertama musim ini selepas mencatat kemenangan 1-0 dalam perlawanan sengit di Everton, awal pagi semalam.
Arsenal yang memenangi enam perlawanan berturut-turut mengatasi Tottenham selepas pemain pertahanan Belgium, Vermaelen meledak gol pada minit kelapan manakala seteru utara London diikat 1-1 oleh Stoke.
Everton kecewa apabila ‘gol penyamaan’ Royston Drenthe dibatalkan kerana didakwa ofsaid.
Skuad kendalian Arsene Wenger kini memiliki kelebihan satu mata berbanding Tottenham selepas sebahagian musim ini ketinggalan kepada jirannya itu.
Dalam empat perlawanan sebelum ini, Arsenal bangkit selepas ketinggalan untuk mencatat kemenangan namun kali ini sebaliknya pula berlaku apabila Everton membenarkan mereka menjaringkan gol pendahuluan.
Sepakan sudut Robin van Persie membolehkan Vermaelen melonjak mengatasi pemain lain untuk menanduk melepasi jangkauan penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard.
Everton hambar sepanjang babak pertama dan hampir dihukum beberapa kali.
Dua minit sebelum itu, Van Persie menanduk ke arah Aaron Ramsey namun pemain tengah Wales berusia 21 tahun itu melakukan sepakan voli yang tersasar jauh walaupun berada dalam posisi yang baik. - AFP
No comments:
Post a Comment