PENCAPAIAN beraksi di final GP Emas Terbuka Australia selain dua separuh akhir dan satu suku akhir sepanjang 2012 yang baru memasuki bulan keempat, menyaksikan prestasi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam acara beregu campuran boleh dianggap berada di landasan tepat bagi memburu pingat di Sukan Olimpik London.
Malah perjalanan Peng Soon-Liu Ying sepanjang menuju Road to London yang berbaki kurang tiga bulan dianggap mengikut perancangan jurulatih dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Hal itu diakui sendiri jurulatih beregu campuran Jeremy Gan selepas melihat Peng Soon-Liu Ying terlepas gelaran Terbuka Australia.
“Standard permainan mereka semakin meningkat, menghampiri kualiti gandingan bertaraf dunia,” kata Jeremy.
“Apa yang perlu mereka lakukan, meneruskan program yang kami rancangkan dan selepas itu, kita hanya boleh berharap mereka beraksi cemerlang di Olimpik.” Menurut Jeremy, Peng Soon-Liu Ying yang kini di ranking kelapan dunia seharusnya muncul juara di Terbuka Australia, kelmarin, namun tiga keputusan pengadil yang memberi mata kepada lawan memberi kesan kepada permainan mereka hingga akhirnya tewas 20-22, 21-12, 21-23 kepada gandingan Taiwan yang berada di ranking kelima dunia, Chen Hung Ling-Cheng Wen Hsing.
Menyentuh aspek kecederaan belakang Liu Ying dan tahap kecergasan Peng Soon, Jeremy berkata, kedua-dua pemain itu bertambah baik.
“Mereka perlu menjaga diri dan badan mereka sendiri seperti mendapatkan rehat mencukupi selain sentiasa melakukan aktiviti yang boleh menggalakkan pemulihan.
“Bagi setiap pemain, badan adalah aset penting kerana hanya mereka yang tahu apa yang diperlukan,” kata Jeremy.
Peng Soon-Liu Ying bermula hambar pada awal musim ini apabila sekadar beraksi di pusingan pertama Siri Super Premier Terbuka Korea, namun mereka bangkit mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia sebelum sekadar terkandas di pusingan pertama Terbuka Jerman.
Pada kejohanan berprestij Seluruh England, gandingan ini sekali lagi mempamerkan prestasi menakjubkan apabila ke separuh akhir sebelum kecundang di suku akhir Terbuka Switzerland dan terbaru, final Terbuka Australia.
No comments:
Post a Comment