Tuesday, 10 April 2012

Buruan Hafizuddin, Cub Prix Malaysia AAM Petronas

KECEWA menaiki podium pada pusingan pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas di Litar Batu Kawan menjadi pengajaran berguna buat pelumba pasukan URT-GeMS daripada Universiti Selangor (Unisel), Mohd Hafizuddin Azahar.

Nasib tidak menyebelahi Hafizuddin, 17, yang berentap dalam kategori Wira apabila terjatuh di pusingan kelapan.


Lebih mengecewakan, Hafizuddin yang menunggang jentera Yamaha Lagenda berada di kedudukan ketiga di belakang dua pelumba Motul Yamaha YY Pang, Mohd Izzat Zaidi Mohd Solehan dan Tengku Amirul Haffiruddin yang menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua.

“Saya bermula dengan baik apabila mendahului Tengku (Amirul) dan (Mohd) Izzat. Namun, masuk pusingan kelapan, saya mengambil selekoh terlalu rapat dan terlanggar beg pasir lalu terjatuh,” katanya.


Selain Hafizuddin, URT-GeMS turut ditemani Nasha Edziera Mohd Baharuddin, 17, dalam kategori sama dan Mohd Afiki Supaat, 14. Skuad URT-GeMS bertekad menebus kekecewaan pada pusingan kedua yang berlangsung di Kuala Terengganu pada hujung minggu ini.

No comments: