AHMAD Abdul Kadir ingin melupakan insiden malang musim lalu dan menebus kesilapan apabila kembali ke Terengganu bagi menghadapi Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, hujung minggu ini.
Pelumba kelahiran Sarawak itu mempunyai memori pahit di litar Stadium Sultan Mizan Gong Badak, Kuala Terengganu apabila terpaksa menarik diri daripada perlumbaan kategori CP115 selepas dua pusingan berikutan kemalangan. Berbekal semangat berkobar-kobar, Ahmad berharap meneruskan rekod cemerlang apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua pada musim 2010. Tambahan lagi, dia cukup yakin Apido Yamaha Boon Kui Racing berada dalam keadaan terbaik dari segi persiapan jentera dan pengurusan apabila menamatkan pusingan pembuka Cub Prix di Batu Kawan di tempat ketiga awal bulan ini.
“Segala-galanya tidak menjadi di Kuala Terengganu pada musim lalu. Saya bermula di barisan ketiga dan terpaksa bekerja keras pada permulaan perlumbaan namun sedihnya, saya mengalami kemalangan selepas dua pusingan dan tidak dapat meneruskan perlumbaan (DNF). Nasib tidak menyebelahi saya dan ia mengecewakan,” kata Ahmad, 22.
“Oleh itu saya bercadang memberi aksi terbaik dan menebus kekecewaan di atas litar sepanjang 932 meter ini. Berdasarkan prestasi di Batu Kawan, kami mampu merebut podium kerana jentera Yamaha kami berdaya saing dan saya juga memahami litar. Apa yang diperlukan adalah mendapatkan pelarasan terbaik ketika keluar untuk sesi latihan Jumaat ini.” Dalam pada itu, Ahmad juga ingin merampas kedudukan pendahulu senarai keseluruhan CP115. Pada masa ini Ahmad berada di tangga ketiga dengan 16 mata manakala Mohd Iskandar Raduan (Petronas Syntium Moto Yamaha AHM) mendahului carta dengan 25 mata, diikuti Mohd Azhar Abdul Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) kedua, 20 mata.
“Ini tahun ketiga saya beraksi dalam kategori Novis/CP115, oleh itu sudah semestinya saya meletakkan sasaran untuk muncul juara. Pada masa sama, saya juga perlu mencongak strategi tepat. Menguasai kedudukan dari peringkat awal ataupun mengekalkan jurang perbezaan kecil akan mencerahkan peluang merebut kejuaraan. Dengan segala kelebihan yang ada, mudah-mudahan sekali lagi kami dapat melalui minggu perlumbaan ini dengan cemerlang,” kata Ahmad yang memulakan kariernya pada 2007.
Maklumat lanjut, hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau lawati laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM Petronas, www.malaysiancubprix.com website www.malaysiancubprix.com.
No comments:
Post a Comment