MUNGKINKAH sentuhan jurulatih luar ditagih kembali oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) selepas kegagalan kali ketiga berturut-turut skuad hoki negara pada kempen kelayakan Sukan Olimpik di Dublin, Ireland bulan lalu?
Ini kerana, Presiden MHC, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah seolah memberi bayangan mahu melakukan perubahan besar dalam barisan kejurulatihan skuad negara selepas ini ketika masa depan ketua jurulatih, Tai Beng Hai masih tidak menentu berikutan badan induk hoki tempatan itu belum dapat membuat keputusan muktamad sama ada mahu mengekalkannya atau sebaliknya.
Tengku Abdullah ketika ditanya adakah mempunyai senarai calon jurulatih lain termasuk dari luar untuk menggantikan Beng Hai pada sidang media kelmarin berkata: “Selepas Piala Sultan Azlan Shah, kita perlu berfikir panjang berhubung perkara ini.
Sudah tentu kami akan cuba mendapatkan beberapa nama (calon jurulatih) untuk jangka masa panjang, kalau dapat secepat mungkin lagi bagus. Kalau tak dapat, kita terpaksa guna (khidmat) jurulatih sedia ada,” katanya.
Mengenai masa depan Beng Hai, Tengku Abdullah berkata, keputusan muktamad akan dilakukan dalam tempoh beberapa hari sama ada mahu mengekalkannya atau sebaliknya.
“Dia (Beng Hai) meminta maaf kepada kami selain membentangkan laporan pasukan. Terdapat beberapa faktor utama menerusi laporannya mengenai prestasi skuad negara pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik tetapi saya tidak dapat menghuraikannya secara lebih lanjut. Lebih baik anda bertanya kepadanya sendiri,” katanya.
Selain menyentuh soal kejurulatihan, Tengku Abdullah juga menyatakan mungkin akan berlaku rombakan pada barisan pemain skuad senior negara iaitu sama ada mahu menggabungkannya dengan barisan pemain muda atau mengekalkan pemain sedia ada.
Skuad negara mendapat sentuhan jurulatih asing kali terakhir sekitar 2000 hingga 2003 iaitu Paul Lissek dari Jerman sebelum kerusi jurulatih selepas itu diisi oleh jurulatih tempatan.
Kali terakhir skuad negara layak ke Sukan Olimpik Sydney 2000 di bawah kendalian jurulatih tempatan, Stephen Van Huizen.-Metro
No comments:
Post a Comment