“JIKA perubahan dibuat demi kebaikan bola sepak negara, apa salahnya,” kata bekas pemain kebangsaan dan jurulatih, Reduan Abdullah yang menyambut baik hasrat Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk mengkaji semula Artikel 88 Statut FAM.
Menurut Reduan, apa yang dilakukan Tengku Abdullah itu harus dilihat satu pendekatan baik memandangkan ‘orang nombor dua’ FAM itu mempunyai pandangan tersendiri dalam isu itu.
“Pada pandangan saya, hasrat Tengku Abdullah untuk mengkaji semula Artikel 88 satu perkara yang baik. “Beliau pastinya mempunyai pandangan tertentu untuk mengkaji semula artikel itu. “Walaupun ia membabitkan peraturan FAM tapi jika pandangan beliau boleh memberi kebaikan kepada FAM dan bola sepak tanah air tidak ada salahnya untuk semua pihak mengambil kira,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.
Reduan pernah menjadi mangsa Artikel 88 apabila digantung setahun dan denda RM4,000 pada 2009 kerana memberikan kenyataan media.
Lebih malang lagi, beliau kehilangan jawatannya selaku ketua jurulatih Felda United kesan daripada penggantungan itu. Artikel 88 peraturan 2010-2014 FAM kini menjadi isu hangat selepas Timbalan Presiden, Tan Sri Annuar Musa disabitkan bersalah atas dua pertuduhan kerana melanggar peraturan itu.
Beliau dijatuhkan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib 4 April lalu.
Annuar bersalah kerana membuat kenyataan terbuka mengenai prestasi skuad bola sepak kebangsaan sedangkan dalam Artikel 88 hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung FAM saja yang boleh berbuat demikian.
Tengku Abdullah yang pada mulanya ingin menjadi perantara menyelesaikan kemelut melanda kelmarin tampil dengan menyatakan bersedia mengkaji semula Artikel 88.
Niat beliau tiada lain, hanya untuk meneliti sekiranya perlu ada perubahan atau penambahan dalam peraturan itu untuk dibawa berbincang ke peringkat Exco ataupun Kongres.
Bagi Reduan, apa yang diusahakan Tengku Abdullah itu akan menjadi sia-sia jika ada pihak yang tidak boleh menerima perubahan.
“Perkara ini terpulang kepada Ahli Exco, tapi jika ia sesuatu yang baik untuk dilaksanakan, apa salahnya kita menyokong,” katanya.
Cadangan memansuh atau meminda Artikel 88 mendapat perhatian ramai pihak sebelum ini termasuk bekas Naib Presiden Satu Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) dan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menggesa pihak persatuan bola sepak negeri bersepakat untuk melakukan perubahan.-Metro
No comments:
Post a Comment