Tuesday, 10 April 2012

Babi hutan berkeliaran di Taman Pedas Perdana, Rembau

REMBAU: Penduduk Taman Pedas Perdana di sini, melahirkan rasa bimbang dengan kehadiran babi hutan yang dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini hingga mendatangkan ketakutan kepada mereka.

Difahamkan, binatang yang datang dari kawasan hutan berhampiran taman berkenaan bukan saja merosakkan tanaman penduduk tetapi dikhuatiri akan membahayakan keselamatan mereka terutama kanak-kanak.


Penduduk, Ahmad Jani, 62, berkata, dia menyedari kehadiran babi hutan itu yang dilihat berkeliaran mencari makanan di belakang rumahnya sejak sebulan lalu.

“Sejak itu, saban hari saya melihat kelibat binatang berkenaan sama ada siang atau malam. Menyedari keadaan itu, saya segera menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memaklumkan perkara itu. “Walaupun rondaan dilakukan di kawasan taman perumahan ini, namun masalah tidak selesai kerana babi hutan itu masih ada,” katanya kepada Metroplus, di sini.


Menurut beliau, babi hutan itu memusnahkan tanaman ubi kayu dan pokok bunga yang ditanam di laman rumahnya.


Bagi Ema Yulis M Nasir, 41, dia kali pertama terserempak binatang itu pada minggu lalu, ketika mahu pergi ke kedai untuk membeli barang.

“Saya terkejut melihat beberapa ekor babi hutan berkeliaran di kawasan padang. Ketika itu, saya mula memikirkan keselamatan anak-anak kecil kerana bimbang binatang itu bertindak ganas hingga mendatangkan kecederaan,” katanya.


Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu, Jaafar Yahya berkata, pihaknya sudah mengetahui masalah berkenaan berdasarkan aduan beberapa penduduk dan tindakan lanjut sedang dilakukan.

“Selain memaklumkan kepada Perhilitan, anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) turut melakukan pemantauan terutama pada waktu malam bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, Mohd Zaidi Mohamed Zain berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara berkenaan dan sudah mengambil tindakan.


“Selain membasmi kera dan harimau, kami turut melakukan ‘Operasi Khas Basmi Babi Hutan’ terutama pada waktu malam.


“Orang ramai diharap tidak bimbang dan segera menghubungi Perhilitan sekiranya ternampak binatang seumpama itu berkeliaran di kawasan mereka,” katanya.-Metro

No comments: