PETALING JAYA: Penduduk di Taman Medan Jaya, di sini, kurang senang dengan gelagat sekumpulan kaki botol yang berkelakuan tidak senonoh serta mengganggu ketenteraman awam selepas meminum arak di kawasan rumah mereka.
Bukan setakat mabuk dan mengganggu penduduk, botol arak juga dibuang merata-rata. Situasi itu bukan saja mencacatkan pemandangan, tetapi mengundang ketakutan orang ramai untuk berjalan seorang diri terutama pada waktu malam.
Penduduk, Azman Sani, 46, berkata mereka mempunyai ‘port’ tetap menikmati arak dan ada kalanya warga emas terbabit meneguk air itu secara terbuka pada waktu siang tanpa mempedulikan orang ramai yang berada di sekeliling.
“Saya pernah terserempak dan melihat mereka meracau sambil memegang botol arak. Tindakan itu bukan hanya menyebabkan orang ramai takut, tetapi bimbang perkara buruk bakal terjadi,” katanya.
Pekerja pembersihan, Ani Manah, 33, berkata dia yang hampir lima tahun bekerja sebagai tukang sapu di situ mendakwa lebih 15 botol arak dikutipnya setiap hari dan kebanyakan dibuang merata-rata.
“Melihat pada botol arak yang bertaburan pada waktu pagi menunjukkan mereka meneguk arak secara keterlaluan kerana setiap sudut laluan terdapat botol arak,” katanya.
No comments:
Post a Comment