KENANGAN...Dannii dan Smith bersama anak lelaki mereka, Ethan.
BEKAS juri X Factor Dannii Minogue mengesahkan dia telah berpisah dengan bapa kepada anak kecilnya.
Penyanyi terbabit dan model Kris Smith bersama-sama mengumumkan mereka mengambil keputusan untuk membawa haluan masing-masing selepas empat tahun bersama.
Kedua-duanya mengumumkan demikian di laman Twitter mereka minggu lalu.
Dannii menulis: “Cukup menyedihkan untuk memberitahu anda bahawa saya dan Smith sudah berpisah.
“Kami masih mengambil berat antara satu sama lain dan meminta supaya tidak diganggu sepanjang tempoh sukar ini khususnya untuk anak kami Ethan yang menjadi keutamaan kami.”
Dannii menambah dia merancang untuk berehat daripada laman mikro-blog untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan baru sebagai ibu tunggal.
Bintang langsing berusia 40 tahun itu terdesak untuk menyelamatkan hubungan empat tahunnya bersama bekas pemain ragbi itu, tetapi pasangan terbabit dihujani khabar angin mengenai kecurangan Smith hingga mencetuskan ketegangan antara kedua-duanya selama beberapa bulan.
“Pada tahap tertentu, anda perlu mengakui kekalahan,” kata teman Dannii malam semalam.
Smith, 33, telah dilapor sudah meninggalkan kediaman bernilai puluhan juta dolar di kawasan elit Melbourne di pinggir East Hawthorn, meninggalkan Ethan, anak lelakinya berusia 21 bulan.
Satu sumber yang rapat dengan penyanyi itu berkata, Dannii sudah berusaha untuk menyelamatkan hubungan itu sambil menambah: “Dia banyak berkorban untuk Smith.”
Sumber itu berkata: “Smith berpindah keluar dari kediaman itu dua minggu lalu dan Dannii meluangkan banyak masa bersama ibu bapanya, Ron dan Carol. Mereka tinggal tidak jauh dari rumah Dannii.
“Ia amat menyedihkan kerana Dannii banyak berkorban untuk Smith. Sebahagian keputusannya untuk meninggalkan Britain dan berpindah sepenuh masa ke Australia, dilakukan atas desakan Smith yang membina kerjaya di Australia.
“Dannii menolak tawaran untuk kembali dalam X Factor kerana dia tidak mahu hubungan jarak jauh dengan Smith.
“Semuanya demi Smith. Karier Dannii paling menyerlah di Britain tetapi dia mahu mendahulukan keluarga. Banyak pengorbanan dilakukan untuk Smith.
“Dannii benar-benar tidak mahu mereka berpisah, tetapi apabila sampai waktunya anda terpaksa mengaku kalah.”
Sementara itu, Smith mempunyai kerjaya yang cemerlang di Australia, tempat dia menjadi model dan pengacara sukan televisyen.
Dipercayai Dannii yang menjadi juri untuk rancangan Australia’s Got Talent akan kekal di negara itu buat masa ini.
No comments:
Post a Comment