Tuesday, 10 April 2012

NASIM Sdn Bhd (Nasim), pengedar rasmi kenderaan Peugeot bakal buka pusat servis konsep 4S

NASIM Sdn Bhd (Nasim), pengedar rasmi kenderaan Peugeot, bakal membuka pusat servis berkonsepkan 4S (jualan, alat ganti, servis dan sistem) yang pertama di negara ini di Glenmarie, Shah Alam membabitkan pelaburan kira-kira RM12 juta pertengahan tahun ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Samson Anand George berkata, pembukaan pusat 4S itu turut menempatkan ibu pejabat baru Peugeot menjadikan jumlah petak servis kenderaan meningkat kepada 62 peratus di seluruh negara sebelum akhir tahun ini. “Arah tuju syarikat ketika ini ialah membuka lebih banyak pusat servis berkonsepkan 3S dan kami menerima 15 permohonan daripada individu atau syarikat yang berminat mengusahakannya secara francais membabitkan pelaburan antara RM2 juta dan RM4 juta bergantung kepada lokasi.


“Kami merancang membuka sembilan lagi cawangan 3S secara francais di seluruh negara dan menetapkan sasaran jualan 9,300 unit tahun ini, meningkat 72 peratus berbanding 5,400 unit tahun lalu dengan disandarkan kepada pengenalan empat model baru yang dijangka dilancarkan secara berperingkat bermula Jun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian pusat 2S (servis dan alat ganti) terbesar Peugeot oleh Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Syarikat Naza, SM Nasarudin SM Nasimuddin di Balakong, Selangor.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan, Nasim menawarkan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan kepada pemilik kenderaan Peugeot yang dijual bermula 1 April lalu.


Mengenai pusat servis 2S terbaru berkeluasan 2,694 meter persegi itu, beliau berkata pihaknya membelanjakan RM1 juta dan dilengkapi 12 petak servis dengan kapasiti 36 buah kereta sehari selain menawarkan penyelenggaraan penuh meliputi servis, perkhidmatan cat dan badan kenderaan serta penjajaran tayar. Samson berkata, Nasim bakal melancarkan model baru Peugeot yang kini menggunakan kod T73 pertengahan tahun ini dan model berkenaan turut dieksport ke luar negara antaranya Australia, Thailand, Singapura dan Afrika Selatan.


Sementara itu, Ketua Pengarah Peugeot bagi Negara Asean, Lionel Faugeres berkata, jualan kenderaan Peugeot di seluruh dunia tahun lalu sebanyak 3.6 juta unit dengan 400,000 unit disumbangkan dari rantau Asia manakala tahun ini, Peugeot menyasarkan jualan kira-kira 500,000 unit.-Metro

No comments: