Tuesday, 10 April 2012

Boustead suntik modal RM1.3b

BOUSTEAD Holdings Berhad (BHB) bersedia untuk memanfaatkan momentum yang dicapai daripada keputusan rekod kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2011 apabila memperuntukkan sebanyak RM1.3 bilion perbelanjaan modalnya (Capex) tahun ini.

Timbalan Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Datuk Lodin Wok Kamaruddin berkata, sebanyak RM300 juta daripada jumlah Capex terbabit akan digunakan untuk tujuan perladangan yang kini peneraju kumpulan selain mendapat manfaat daripada harga minyak sawit mentah yang tinggi ketika ini.


“Hampir semua segmen perniagaan kami mencatatkan prestasi lebih tinggi daripada jangkaan asal dan bahagian perladangan merekodkan keuntungan kukuh berjumlah RM299 juta (2011) berbanding RM183 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

“Selain perladangan, syarikat juga akan mengukuhkan pasaran lain seperti industri berat, hartanah, kewangan dan pelaburan serta segmen terbaru iaitu bahagian farmaseutikal bagi mencapai keputusan memberangsangkan pada tahun kewangan 2012,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Boustead di Kuala Lumpur, semalam.


Menurutnya, BHB berjaya mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukainya iaitu sebanyak RM831 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 berbanding RM726 juta yang dicatatkan tahun sebelumnya.


“Keputusan kewangan dicatatkan kali ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan. Malah selain perladangan, bahagian hartanah juga mencatatkan keuntungan RM211 juta, perdagangan dan pembuatan pula meraih untung RM113 juta manakala ahli terbaru kumpulan, iaitu bahagian farmaseutikal menerusi Pharmaniaga mencatatkan untung berjumlah RM68 juta,” katanya.

No comments: