Tuesday, 10 April 2012

KFC Holding labur RM40 juta buka 15 cawangan

KFC Holdings Malaysia Bhd (KFCH), pengendali rangkaian restoran makanan segera KFC akan melabur sehingga RM40 juta bagi membuka 15 cawangan baru termasuk 10 restoran pandu lalu di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

Pengarah Urusannya, Jamaludin Md Ali berkata, pembukaan cawangan terbaru itu dijangka merancakkan lagi prestasi jualan KFC dari Malaysia yang kini menyumbang sebanyak 65 peratus berbanding empat negara lain tahun lalu.


Beliau berkata, ketika ini KFCH mempunyai cawangan di lima negara iaitu Malaysia, Singapura, Brunei, India dan Kemboja dengan Malaysia mencatatkan sumbangan tertinggi berbanding negara lain manakala India adalah negara yang menjadi tumpuan tahun ini.

“Ketika ini, syarikat mempunyai 12 cawangan di India dan berhasrat menambah 16 lagi cawangan baru dengan nilai pelaburan sehingga RM24 juta kerana gabungan perniagaan di India serta Brunei ketika ini menyumbang kira-kira lima peratus jualan kepada syarikat,” katanya pada majlis pelancaran kempen terbaru KFC, That’s Why It Tastes So Good’! di Petaling Jaya, semalam.


Kempen berkenaan adalah lanjutan cogan kata ‘KFC, So Good’ dan ia tertumpu kepada citarasa unik ayam gorengnya. Kempen That’s Why It Tastes So Good’! dijalankan dalam tempoh tiga bulan dijangka menyumbang kira-kira 10 hingga 15 peratus kepada keseluruhan jualan pada suku kedua tahun ini.


Bagi menjayakan kempen itu, pihaknya membelanjakan RM4 juta dalam pelbagai segmen iklan dan promosi serta memperkenalkan duta terbaru iaitu chef selebriti antarabangsa, Chef Wan.

No comments: