Tuesday, 10 April 2012

Dee Jangan Ketawa kenali diri sendiri (Nama Sebenar Dee Jangan Ketawa)

BUKAN sekali dua dipandang serong tetapi dia tetap cuba bertahan dalam memperjuangkan bakat, mencari rezeki dan demi sebuah kehidupan yang bahagia dilaluinya. Segala kata nista ditelan sebagai sebahagian dugaan hidup seorang manusia bernama Syed Muradzi Syed Shamsul Baharun, 49.

Manusia mudah menjatuhkan hukum hanya melihat apa yang mereka nampak secara lahiriah. Kebetulan penampilan Syed Muradzi atau nama pentasnya, Dee ketika membuat persembahan sering mengenakan busana wanita, menderaskan lagi tafsiran yang menonton.

Bagaimanapun bagi mereka yang mengenali rapat anak kelahiran Perlis ini, Dee tidak seperti yang digambarkan oleh kebanyakan pemerhati seni.

“Orang memang suka membuat hukuman sendiri tetapi bagi saya, kenal diri sendiri terlebih dahulu dan paling penting, keimanan di dalam diri kita dan saya percaya, iman itu yang membuatkan saya insya-Allah mampu berdepan dengan orang ramai.


“Malah saya percaya dengan nawaitu setiap apa yang kita lakukan. Kalau tiada niat yang baik dan tiada keikhlasan, kita tidak akan ke mana, malah ia juga membentuk seseorang manusia sama ada untuk jadi baik atau sebaliknya.


“Saya percaya apa yang selalu mak (Allahyarhamah Sharifah Noor al-Hadi yang baru meninggal dunia 1 April lalu) cakap mengenai mengenali diri sendiri, keikhlasan dan niat yang betul dalam melakukan sebarang kerja demi mencari rezeki yang halal.

“Pernah jiran bertanyakan mak saya: ‘Mak Pah tak malu ke anak Mak Pah pakai pompuan (perempuan) dalam televisyen? Bapa dia ulang alik pergi masjid, anak pula jadi lagu tu.’ Tapi mak saya jawab: ‘Dia pakai pompuan pun dapat duit,” kata Dee yang ditemui selepas mengadakan persembahan Minggu Setiausaha Jamal Abdillah di Pusat Dagangan Dunia Putra baru-baru ini.

Jelas Dee, penampilannya sebagai ‘wanita’ hanyalah sebahagian daripada persembahan dan kebetulan penghibur ini dikenali dengan pelbagai karakter wanita di atas pentas termasuk meniru gaya artis.

“Ia dilakukan secara profesional dan habis persembahan, saya tanggalkan solekan lalu pakai baju-T dan jeans macam lelaki lain.

“Sebab itulah saya katakan, tengok diri dulu, tahu siapa diri kita dan yang penting keluarga tahu apa yang kita lakukan. Jangan peduli sangat apa orang nak kata dan kalau kita goyang dengan kata-kata orang, sudah tentu kita tidak bertahan lama dalam apa kerja sekalipun.

“Secara jujurnya, kita tidak boleh memaksa diri kita membuat kerja yang kita tidak suka dan duit persembahan ini jugalah yang membawa saya ke Makkah dua kali untuk mengerjakan umrah,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai orang Islam, Dee sedar haram bagi seorang lelaki memakai pakaian wanita tetapi dia hanya tampil sedemikian untuk tempoh 2-3 jam sahaja.

Malah akuinya, hatinya pernah menangis dan rasa bersalah setiap kali menyarungkan busana wanita di badannya. Dia hanya mampu berishtifar sebanyak mungkin dan memohon maaf daripada Tuhan.

Katanya, Tuhan tidak menjatuhkan hukum ke atas makhluk-Nya sesuka hati tetapi menilai hati manusia ciptaan-Nya.

“Dia lebih faham dengan apa yang kita lakukan terutama mencari rezeki.

“Tengoklah sekeliling, kita boleh jadi tok imam, tahfiz, jutawan atau siapa sahaja tetapi untuk dipanggil ke Baitullah, belum tentu lagi. Saya bersyukur kerana Allah memberi peluang itu. Bukan mahu bongkak tetapi ini semua kuasa Allah yang kita tidak tercapai dek akal kita sebagai manusia.

“Sebab itu semua bergantung kepada hati budi. Takkan setiap kali solat, kita perlu memberitahu orang lain. Itu urusan peribadi kita dengan Allah dan saya hanya mampu berdoa kepada-Nya yang terbaik, memohon supaya Dia dijauhkan saya aib dunia akhirat dan kekal di jalan yang benar,” katanya yang akan muncul di pentas Minggu Setiausaha Datuk Sheila Majid di Menara Kuala Lumpur pada 25 April ini.

No comments: