NI baru dikatakan album ‘comeback’ otai rock kapak! Selepas tujuh tahun menyepi sejak album Kejora, vokal Mie Leon tetap ‘layan’ dan kehadiran empat anggota baru - Tuah (gitar), Muiz (bass), Fariq (dram) dan Aboy (keyboard) menjadi pelengkap kumpulan ini.
Lagu bertajuk Bunga Mawar ala ‘joget Melayu’ disuntik muzik ‘groove’ dan vokal secukup rasa membuat perasaan layu segar semula. Lagu Usah Kau Sangsi menarik pada bahagian korus sementara lagu Tusukan Cinta memang tangkap leleh dan mendayu-dayu. Dengan 10 lagu baru dimuatkan mendapat sentuhan bekas anggota, Fancy Leon.
Beberapa lain adalah lagu Nyanyian Hati, Cinta Kita dan Jangan Ganggu Linda juga ada kekuatan sendiri dari segi lirik menikam sanubari. Jika ada sistem bunyi bagus, halwa telinga boleh layan gitar bass dan ‘guitar tapping SFS’ dalam lagu bertajuk Dan.
Album kelima Leon tidak membosankan. Masih mengekalkan gitar solo dan ‘lick’ rock kapak identiti kumpulan seangkatan mereka sekitar pertengahan 90-an.
Secara keseluruhan, kombinasi lagu perlahan dan rancak menjadikan album Usah Kau Sangsi menarik. Banyak melodi sedap dan menepati jangkaan diharapkan merancakkan industri muzik rock Malaysia semula. Terus berkarya kerana lagu-lagu Leon bukan jenis bermusim!
INFO:
ARTIS: Leon 2012
TAJUK: Usah Kau Sangsi
GENRE: Pop Rock, Slow Rock
EDARAN: Musicland (M) Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment